Isnin, 10 Oktober 2016 | 12:00am

10 pemancing, 2 kru, seorang tekong hilang di laut

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat 10 pemancing, dua kru dan seorang tekong bot yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing sejak Jumaat lalu.

APMM dalam satu kenyataan, berkata semua mangsa berkenaan keluar memancing dari jeti Lembaga Pemasaran Ikan Sabah (SAFMA) di sini kira-kira jam 10 pagi Jumaat lalu, dan dijadualkan pulang ke Kota Kinabalu jam 1 tengah hari tadi.

"Laporan daripada Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu menyatakan kesemua mangsa keluar memancing di perairan Pulau Mantanani dan Pulau Mengalum. Namun mereka belum tiba dan gagal dihubungi sehingga kini," katanya dalam satu kenyataan.

APMM berkata, pihaknya kini sedang mengesan bot berkenaan dan operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada jam 8.30 malam ini. - BERNAMA

Berita Harian X