Ahad, 2 Oktober 2016 | 1:14pm

158 ditahan dalam Ops Noda Khas di ibu negara

KUALA LUMPUR: Usaha membanteras kegiatan maksiat dan pelacuran di ibu negara diteruskan polis dengan menyerbu 31 lokasi menerusi Op Noda Khas, bermula lewat malam tadi.

Operasi bermula jam 11 malam dan berakhir jam 4 pagi tadi dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata dalam serbuan itu, seramai 158 individu ditahan yang mana 134 daripadanya adalah pelayan pelanggan (GRO) dan pelacur.

Katanya, sasaran operasi adalah membabitkan pusat pelacuran, rumah urut, pusat hiburan dan lokasi lain yang dijadikan sarang maksiat dengan seramai 409 orang diperiksa.

"Hasil pemeriksaan itu, 158 individu ditahan membabitkan 95 GRO; 39 pelacur; 16 penjaga premis; lima pekerja asing; dua tukang urut dan seorang pondan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amar Singh berkata, daripada jumlah itu 19 tangkapan terdiri daripada rakyat tempatan, manakala selebihnya adalah warga Vietnam (89); Thailand (29); Bangladesh (7); Kemboja (6); China (5) dan dua Uzbekistan.

Beliau berkata, sebanyak 24 kertas siasatan dibuka dengan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP); Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/1963; Peraturan 11(7) Peraturan-peraturan Imigresen 1963; Seksyen 372B Kanun Keseksaan; Seksyen 6(3) dan Seksyen 3 Undang-undang Kecil Premis Kecantikan dan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2003.

Berita Harian X