Khamis, 15 September 2016 | 2:11pm

4 warga Filipina dipenjara 8 bulan miliki MyKad palsu

EMPAT warga Filipina yang didapati bersalah memiliki kad pengenalan palsu dan dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan di Mahkamah Majistret Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakarian
EMPAT warga Filipina yang didapati bersalah memiliki kad pengenalan palsu dan dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan di Mahkamah Majistret Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakarian

PORT DICKSON: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap empat lelaki warga Filipina kerana memiliki MyKad palsu, baru-baru ini.

Majistret Siti Khairiah Abdul Razak membuat keputusan itu selepas Muhammad Ontoh, 30; Sajid Abtuh, 25; Almen Abu Bakar, 35, dan Mukmin Andod, 25, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, Muhammad didakwa memiliki MyKad palsu atas nama Mohd Faizal Juhandi, manakala Sajid (Riba Jiul); Almen (Mohammad Sharulnizam Raibould) dan Mukmin (Rahmat Abdul Jalil).

Mereka melakukan kesalahan itu ketika ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan polis di Taman PD Utama, di sini, antara jam 6 petang hingga 6.20 petang, 9 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN negeri, Shah Amirul Gautamaruban dan Mohd Hafiz Wan Ismail, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X