Khamis, 8 September 2016 | 12:05pm

Peniaga didenda RM16,000 guna Mykad palsu

SEREMBAN: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM16,000 terhadap seorang peniaga warga Saint Kitts & Nevis kerana menggunakan Mykad palsu, bulan lalu.

Majistret Nurulfitriza Abd Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Lin Juncong, 30, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Lelaki berkenaan didakwa memiliki Mykad palsu atas nama Lam Poh Seng sebagai pengenalan diri di Jabatan Imigresen Negeri Sembilan pada jam 10.50 pagi, 20 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (pindaan 2007) dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sembilan, Shah Amirul Gautamaruban, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan.

Berita Harian X