Selasa, 15 March 2016 | 9:32pm

33 orang ditahan serbuan Ops Noda

ANTARA wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing yang ditahan menerusi Ops Noda di Subang Jaya dan Sekinchan, Selangor, semalam.
ANTARA wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing yang ditahan menerusi Ops Noda di Subang Jaya dan Sekinchan, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR: Seramai 33 individu yang terbabit dalam kegiatan seks dan maksiat ditahan menerusi serbuan Ops Noda di empat premis berasingan, semalam. 

Serbuan bermula jam 11 malam itu dilakukan Pasukan Tindakan Khas Anti-maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) dengan menyasarkan premis rumah urut dan karaoke di Subang Jaya dan Sekinchan, Selangor yang didapati menawarkan khidmat seks kepada pelanggan. 

Ketua Penolong Pengarah STAGG, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata seramai 27 wanita pelayan pelanggan (GRO) termasuk tukang urut ditahan membabitkan warga Vietnam, Indonesia dan Thailand berusia 20 hingga 50 tahun.

"Kita turut menahan enam penjaga dan pekerja di empat premis berkenaan dan seramai 12 pelanggan turut diperiksa dalam serbuan berkenaan. 

"Semua premis didapati beroperasi tanpa memiliki lesen dan hasil siasatan lanjut, premis terbabit menawarkan khidmat seks berdasarkan penemuan kondom," katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Khairi berkata, kesemua tangkapan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya dan Sabak Bernam untuk siasatan lanjut. 

"Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), 55(B) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Berita Harian X