Jumaat, 10 Julai 2015 | 9:15pm

Kru kapal layar diselamatkan di Laut Sulu

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat menyelamatkan dua anak kapal layar Catherine yang mengalami kerosakan enjin di perairan Pulau Malawali, Laut Sulu petang semalam.

Pengarah Operasi Maritim Daerah Kudat, Leftenan Komander Maritim Mohd Hafidz Mohd Tajuddin, berkata anak kapal itu terdiri daripada warga Kanada dan Filipina.

"Pusat Operasi Daerah Maritim Kudat menerima panggilan kecemasan daripada pemilik kapal layar itu yang dikenali sebagai Hendrike, 48, seorang warga Jerman pada kira-kira jam 8.30 pagi," katanya.

Beliau berkata, akibat cuaca buruk, kapal layar berkenaan kemudiannya ditunda ke jeti Karakit Pulau Banggi sebelum dibawa ke jeti Marina Kudat.

- BERNAMA

Berita Harian X