Selasa, 17 Februari 2015 | 9:44am

33 GRO ditahan dalam serbuan polis di Klang

POLIS menahan seramai 33 wanita warga asing yang bekerja sebagai GRO dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Taman Desawan, Klang, awal pagi tadi. - Foto ihsan PDRM
POLIS menahan seramai 33 wanita warga asing yang bekerja sebagai GRO dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Taman Desawan, Klang, awal pagi tadi. - Foto ihsan PDRM

KLANG: Polis menahan seramai 33 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Taman Desawan, Klang, awal pagi tadi.

Serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perjudian, Maksiat, Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman pada jam 1.15 pagi itu turut dibantu Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

Sumber berkata, dalam serbuan itu, semua GRO yang ditahan berusia lingkungan 20-an dikesan bekerja di premis hiburan berkenaan tanpa memiliki dokumen yang sah.

Ketika premis diserbu, ada 100 pelanggan sedang berhibur dan semua mereka dibebaskan selepas selesai proses dokumentasi.

"Semua GRO yang ditahan dibawa ke IPD Klang Selatan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)C Akta Imigresen serta Seksyen 39b Peraturan Imigresen," katanya.

Berita Harian X