Rabu, 1 March 2023 | 6:14pm
Ewe Hock (duduk tiga dari kanan) pada majlis pelancaran Kejohanan Badminton Ong Ewe Hock.
Ewe Hock (duduk tiga dari kanan) pada majlis pelancaran Kejohanan Badminton Ong Ewe Hock.

Ewe Hock tak mahu 'insiden' Kean Yew berulang

KUALA LUMPUR: Bekas pemain badminton perseorangan lelaki kebangsaan, Ong Ewe Hock mencadangkan Akademi Badminton Malaysia (ABM) untuk memperluaskan program pencarian bakat mereka yang mana tidak lagi tertumpu hanya kepada pemain yang menyerlah di peringkat junior.

Ewe Hock, 50, yang dilantik membarisi Panel Penasihat Teknikal ABM, berharap 'insiden' yang menyaksikan juara dunia 2021, Loh Kean Yew berhijrah ke Singapura tidak lagi berulang selepas pemain itu dikategorikan sebagai pemain yang lambat menyerlah.

"Kita memerlukan lebih ramai pemain, kita perlu beri fokus kepada perkembangan prestasi mereka.

Apabila kita ada kumpulan pemain yang lebih besar, maka kita mempunyai banyak pilihan untuk memilih pemain.

"Mereka (ABM) perlu memberi tumpuan kepada pembangunan setiap pemain junior bukan hanya yang bagus. Sesetengah junior menghasilkan keputusan pada usia yang awal, tetapi ada juga yang berjaya di akhir kerjaya mereka.

"Sebagai contoh, Datuk Lee Chong Wei. Semasa dia berumur bawah 18 tahun, dia tidak menghasilkan banyak keputusan, dia hanya berjaya selepas itu.

"Jadi, adalah penting kita memberi peluang kepada semua pemain muda. Apabila kita hanya fokus kepada pemain terbaik, kita tidak memberi peluang kepada yang lain untuk memperbaiki diri.

"Kita boleh lihat isu di Pulau Pinang. Ramai pemain yang bagus dari Pulau Pinang, mereka yang lambat menyerlah tetapi tidak terpilih seperti Kean Yew.

"Dia dianggap pemain yang lambat menyerlah tetapi kini dia adalah salah seorang pemain terbaik dunia. Kita sentiasa mengambil pemain pertama dan kedua terbaik, tetapi meninggalkan yang lain," kata Ewe Hock ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kejohanan Badminton Ong Ewe Hock di sini, hari ini.

Kean Yew, 25, adalah pemain yang berasal dari Pulau Pinang sebelum dia dilamar Persatuan Badminton Singapura (SBA) ketika berusia 12 tahun dengan menawarkannya biasiswa di Sekolah Sukan Singapura.

Kean Yew yang ketika ini berada di kedudukan ranking nombor lapan dunia mencipta sejarah apabila menjadi pemain Singapura pertama muncul juara dunia pada 2021 selepas menewaskan pemain India, K Srikanth di pentas final.

Kejohanan Piala Ong Ewe Hock akan berlangsung pada 11 dan 12 Mac ini di Universiti Sains Malaysia (USM), Gelugor, Pulau Pinang dengan juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000.

Berita Harian X