KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia kekal dengan pendirian untuk tidak mendapatkan khidmat jurulatih di sebalik desakan pelbagai pihak termasuklah bekas pemain kebangsaan untuk dia mempertimbangkan semula keputusannya itu.
Pemain nombor empat dunia itu, berkata dia tidak mempunyai perancangan untuk melantik jurulatih tetapi pada masa yang sama tetap menghormati pandangan yang diberikan bekas pemain kebangsaan.
"Pertama sekali saya mahu cakap bukan saya enggan mengulas komen-komen yang diberikan sebelum ini. Tindakan saya itu bukanlah untuk tidak menghormati mereka, saya tetap hormat kerana mereka adalah legenda.
"Apa yang mereka bagi (pandangan) itu saya terima sahaja tetapi saya tidak boleh layan semua kerana satu komen ini dan satu komen itu. Kalau saya layan banyak, tidak betul juga kerana saya pun tidak ada banyak masa sangat," katanya.
Beberapa pemain kebangsaan antaranya Datuk Rashid Sidek, Roslin Hashim, Datuk James Selvaraj menyarankan Zii Jia yang juara Asia itu segera melantik jurulatih susulan kemerosotan prestasinya selepas berpisah dengan jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya, November tahun lalu.
Juara Seluruh England 2021 itu, berkata fokusnya selepas ini adalah untuk melangkah ke hadapan tanpa bimbingan jurulatih.
"Saya hanya mahu fokus apa yang ada di depan saya sekarang dan saya perlu lakukannya. Secara jujur, setakat ini memang saya tidak ada fikir untuk ambil jurulatih dan tetap dengan pendirian itu," kata Zii Jia.
Fokus Zii Jia ketika ini terarah kepada persiapan bagi membawa cabaran bersama skuad negara menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAMTC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 14 hingga 19 Februari ini.