Sabtu, 4 Februari 2023 | 9:42pm
 Bekas pemain badminton negara dan Duta Milo Hi- Fibre, Datuk Rashid Sidek (belakang tiga kiri) bersama Pengurus Pemasaran Pengguna Milo Business Unit, Nestle Malaysia Andrew Yoon (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif (Runcit) Pavilion Datuk Joyce Yap (kanan) bergambar dengan penerima sumbangan Program Charity At Heart Milo di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, hari ini. - Foto BERNAMA
Bekas pemain badminton negara dan Duta Milo Hi- Fibre, Datuk Rashid Sidek (belakang tiga kiri) bersama Pengurus Pemasaran Pengguna Milo Business Unit, Nestle Malaysia Andrew Yoon (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif (Runcit) Pavilion Datuk Joyce Yap (kanan) bergambar dengan penerima sumbangan Program Charity At Heart Milo di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, hari ini. - Foto BERNAMA

`Zii Jia perlu sokongan semua pihak'

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia memerlukan sokongan daripada semua untuk dia kembali bangkit selepas mengalami permulaan musim 2023 yang mengecewakan.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Rashid Sidek, berkata sebagai pemain profesional, ia adalah asam garam apabila mengalami prestasi turun naik tetapi percaya Zii Jia yang berada di ranking keempat dunia akan kembali menemui sentuhannya semula.

"Apa yang paling penting sekarang adalah kita semua beri sokongan kepada dia untuk dia kembali melonjakkan semula tahap prestasinya dan kekal sebagai salah seorang pemain utama dunia," katanya ketika ditemui selepas melancarkan 'Charity At Heart' anjuran Milo, di sini, hari ini.

Zii Jia yang muncul juara Asia tahun lalu berdepan permulaan hambar musim ini apabila tersingkir di pusingan pertama dan kedua dalam tiga kejohanan disertainya iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia.

Rashid yang juga bekas pemain nombor satu dunia dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996, berkata Zii Jia tetap memerlukan khidmat seorang jurulatih selain pasukan terbaik untuk membantu kerjayanya.

"Dia perlu ada perancangan iaitu pasukan yang bagus supaya dapat kenal pasti kelemahan seterusnya meningkatkan lagi prestasi ke tahap optimum.

"Kalau saya sendiri, akan lantik jurulatih dan mempunyai satu pasukan yang terbaik untuk kekalkan prestasi. Sebagai pemain, saya hanya perlu memberi tumpuan kepada permainan saja manakala perkara lain diuruskan pasukan," katanya.

Selepas berpisah dengan jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya pada November tahun lalu, dan ketika ini hanya dibantu seorang lagi pemain profesional, Liew Daren selain fisioterapi, Sandra Fiedler serta jurulatih kecergasan, Lim Joe Heang.

Zii Jia bersama barisan pemain utama negara yang lain akan menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 14 hingga 19 Februari.

Berita Harian X