Sabtu, 4 Februari 2023 | 5:37pm
Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei (kanan) bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini. - Foto ihsan FB Lee Chong Wei
Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei (kanan) bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini. - Foto ihsan FB Lee Chong Wei

Chong Wei sedia curah segala pengalaman

KUALA LUMPUR: Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan mencurahkan segala pengalaman dimilikinya bagi membantu melonjakkan prestasi pemain negara selepas dipilih menganggotai Panel Penasihat Teknikal Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Chong Wei, 40, yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali, berkata ini juga adalah satu cara untuk dia kembali membalas budi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang banyak membantunya sepanjang 19 tahun bernaung dengan badan induk itu.

"Ini adalah satu petanda yang positif apabila BAM membuka ruang kepada bekas pemain untuk bersama membantu. Saya bersedia untuk berkongsi pengalaman yang saya ada untuk mencari mekanisme terbaik bagi membantu pemain menyerlahkan potensi sebenar mereka.

"Saya di sini bukan untuk membandingkan antara zaman saya bermain dengan pemain yang ada sekarang. Sebaliknya, saya mahu berkongsi apa yang saya ada untuk bagaimana kita boleh meningkatkan lagi tahap sukan badminton negara," kata Chong Wei yang turut menganggotai Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN).

Semalam, BAM dalam satu kenyataan memaklumkan Chong Wei antara tujuh bekas pemain negara yang bersetuju bagi menganggotai Panel Penasihat Teknikal ABM termasuklah Datuk Seri Jalani Sidek, Datuk Cheah Soon Kit, Roslin Hashim dan Ong Ewe Hock, Koo Kiean Keat dan Tan Boon Heong.

Kesemua mereka akan bekerjasama dengan dengan tujuh lagi panel yang akan dipengerusikan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selain Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli.

Turut tersenarai adalah Naib Presiden BAM, Datuk Teoh Teng Chor dan Datuk Ng Chin Chai, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh Chee Keong dan bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz.

Sementara itu, Roslin antara fakto dia bersetuju dengan pelawaan BAM itu adalah disebabkan

tidak lagi sanggup melihat wakil negara sering 'dipermainkan' di kejohanan antarabangsa sekali gus bersetuju diberikan tanggungjawab itu.

Katanya, menerusi perkongsian idea daripada bekas pemain dapat diguna pakai oleh pihak berkaitan dalam usaha menambah baik kualiti dan corak permainan wakil negara kelak.

Panel Penasihat Teknikal yang berkhidmat secara pro bono, akan memberikan input tambahan, nasihat, dan panduan strategik kepada Lembaga Pemegang Amanah dan Pengurusan ABM dengan tujuan untuk meningkatkan prestasi pemain untuk tempoh jangka panjang dengan matlamat menaiki podium di Sukan Olimpik, temasya sukan utama dan kejohanan Jelajah Dunia BWF.

Panel akan bermesyuarat setiap tiga bulan, akan menilai prestasi pemain dan jurulatih dan jika perlu mencadangkan perubahan dalam dasar, program latihan dan penyertaan kejohanan dalam bentuk pengesyoran kepada lembaga pemegang amanah.

Berita Harian X