KUALA LUMPUR: Tiada persefahaman lagi menjadi punca beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei berpisah.
Kedua-dua pemain ini sentiasa mencari titik penyelesaian atas prestasi mereka, namun Sze Fei mengakui pada akhirnya, masing-masing terpaksa membawa haluan sendiri.
"Kami pernah berbincang sebelum ini, dalam pemikiran saya seakan nak perbaiki dan mencari jalan penyelesaian. Tapi pada akhirnya termasuk dua kejohanan terbaru - dengan keputusan yang tidak bagus, ia agak mengecewakan.
"Addin (Nur Izzuddin) cakap tak rasa (perasaan) dan itu satu isyarat buat saya. Jadi saya rasa, gandingan adalah seperti pasangan dan kalau bersama kena kedua-duanya sekali tetapi itu sudah tidak penting lagi.
"Saya doakan yang terbaik buat Addin dan kami nak bermain dengan bagus. Tiada siapa yang salah dalam hal ini," kata Sze Fei.
Dalam pada itu, Nur Izzuddin mempunyai alasannya tersendiri, menyatakan dirinya sudah tidak 'merasai' biarpun mereka menang ataupun tewas dalam mana-mana kejohanan disertai.
"Bila terlalu lama dalam tujuh tahun, saya rasa seperti sudah biasa, menang kalah itu saya hanya menikmatinya saja. Dalam masa beberapa kejohanan, itulah perasaannya. Saya kalah, saya 'rileks' saja dan bermain semula berbanding harus cuba bekerjasama dengan lebih baik," kata Nur Izzuddin.
Semalam, Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, kedua-dua pemain itu mahukan yang terbaik buat diri masing-masing selepas gandingan antara mereka kurang membuahkan hasil diinginkan.