Ahad, 15 Januari 2023 | 6:50pm
Beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika bertemu dengan pemain China Taipie, Lee Jhe dan Huei dalam saingan Terbuka Malaysia PETRONAS 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika bertemu dengan pemain China Taipie, Lee Jhe dan Huei dalam saingan Terbuka Malaysia PETRONAS 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil. - Foto NSTP/Aswadi Alias

ABM pikul tanggungjawab kegagalan di Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Kegagalan pemain kebangsaan untuk menyerlah pada saingan Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil yang berakhir hari ini turut dipikul bersama Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Ketua Pegawai Eksekutif ABM, Michelle Chai berkata, akademi itu yang dibawah seliaannya sedia untuk memikul kegagalan prestasi pemain secara bersama selepas tiada seorang pun berjaya mara ke separuh akhir.

"Saya mengambil tanggungjawab ini," kata Michelle dalam satu sidang media hari ini.

"Tidak disangkalkan lagi namun seperti saya katakan, ABM bukanlah hendak bermusuh dengan pemain. Ia bukan pihak pengurusan menentang pemain atau sebaliknya. Kami berada dalam satu kapal dengan pemain. "

Michelle berkata, kedua-dua pihak mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing namun mereka masih berpaksikan satu matlamat yang sama.

"Bagi saya, apabila pemain tidak memberikan prestasi terbaik, kami perlu mengambil tanggungjawab. Jika pemain berjaya memberikan aksi terbaik, pujian adalah kepada mereka," katanya.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima kritikan selepas hanya beregu campuran, Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya mara ke suku akhir kejohanan yang kini berstatus Super 1000. Turut mengiringi mereka adalah beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi

Malah juara dunia dalam acara beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut ditunjuk jalan keluar di pusingan kedua manakala Pearly Tan-M Thinaah, tersingkir di pusingan pertama.

"Saya kecewa bukan disebabkan keputusan mereka tetapi kerana tidak menunjukkan tahap sebenar, terutamanya Aaron-Wooi Yik sebagai juara dunia. Permainan mereka tidak sampai tahap sebagai juara dunia.

"Sebagai juara, perlu bersedia untuk ambil tanggungjawab kerana sekarang anda sudah berada di puncak. Tahun lalu kita mengejar, sekarang kita sudah capai sasaran dan cari jalan untuk bertahan," kata Michelle.

Berita Harian X