KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengingatkan peminat badminton tempatan agar memberi ruang kepada beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk terus berkembang dalam kerjaya mereka.
Jurulatih dari Indonesia itu menyuarakan kebimbangan betapa harapan terlalu tinggi dan tekanan dari pihak luar selepas kejayaan mereka menjuarai saingan Terbuka Perancis, Ahad lalu mampu 'membunuh' kerjaya pasangan yang berada di kedudukan ranking ke-10 dunia itu.
Malah, dia menegaskan media sosial pada zaman ini turut mampu menjadi penyumbang kehancuran kerjaya kedua-dua pemain berkenaan.
Tidak mahu apa yang berlaku ke atas bekas pemain kendaliannya, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, berulang, Rexy berkata: "Media sosial mampu mengundang bahaya. Pujian yang keterlaluan dan harapan yang terlalu tinggi boleh meletakkan pemain di bawah tekanan.
"Saya turut menasihatkan pemain untuk sentiasa berhati-hati dengan apa yang mereka tulis di media sosial. Jika mereka mahu seluruh dunia tahu semuanya, mereka perlu bersedia untuk bertanggungjawab.
"Saya juga masih ingat terhadap apa yang berlaku ke atas Kien Keat-Boon Heong ketika saya melatih mereka. Saya mahu membawa mereka meraih lebih banyak kejayaan tetapi disebabkan terlalu banyak gangguan luar, mereka akhirnya gagal.
"Saya tidak mahu perkara sama berulang. Pemain dan jurulatih sememangnya sudah mengetahui apa yang diharapkan daripada mereka, kami tidak mahu lebih banyak pihak yang menambah tekanan.
"Biarlah pemain ini terus berkembang mengikut yang sepatutnya," kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.
Sementara itu, Rexy mengakui masih ada jurang yang besar antara Pearly-Thinaah dengan pemain beregu wanita yang lain.
"Secara jujurnya, apa yang dicapai Pearly-Thinaah hari ini adalah hasil kerja keras mereka sendiri. Sikap yang ditunjukkan mereka ketika latihan adalah sesuatu yang perlu dicontohi.
"Saya sedar semua mahu tahu siapa pemain selepas Pearly-Thinaah dan berapa lama masa diperlukan untuk mendapatkan pasangan seperti mereka. Saya boleh katakan yang ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat kecuali pemain lain mampu menunjukkan semangat juang tinggi seperti Pearly-Thinaah," katanya.
Pearly-Thinaah mencipta sejarah apabila menjadi beregu wanita pertama negara muncul juara Terbuka Perancis selepas menundukkan juara dunia dua kali dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara pada aksi final.