Selasa, 16 Ogos 2022 | 7:32pm
Gambar fail - Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia. - Foto EPA.
Gambar fail - Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia. - Foto EPA.

Rashid ramal 5 pemain berpotensi juara dunia

KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek meramalkan lima pemain termasuk pemain perseorangan lelaki profesinal negara, Lee Zii Jia antara berpotensi muncul juara pada Kejohanan Badminton Dunia di Jepun yang akan membuka tirai saingannya Isnin ini.

Bagaimanapun, beliau meletakkan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen sebagai pemain yang mempunyai peluang paling tinggi untuk sekali lagi dinobatkan sebagai juara dunia selepas melakukannya pada edisi 2017 di Glasgow, Scotland.

Selain Axelsen dan Zii Jia, Rashid turut menyenaraikan tiga lagi pemain iaitu Anthony Sinikusa Ginting (Indonesia), Lakshya Sen (India) dan Chou Tien Chen (Taiwan) sebagai pemain yang dianggap berpeluang untuk merangkul gelaran buat kali pertama.

"Bagi saya, Axelsen adalah pilihan utama kerana saya lihat dia yang paling konsisten dalam kejohanan disertai sepanjang tahun ini. Jadi, peluang dia adalah lebih tinggi berbanding pemain lain namun tetap bergantung kepada persiapannya bagi menghadapi Kejohanan Dunia kali ini.

"Untuk Zii Jia pula, ini adalah masa yang terbaik untuk dia buktikan kemampuan sebenar dirinya selepas dikritik sebelum ini. Saya percaya kritikan yang dilemparkan turut menjadi motivasi terbaik untuk dia menutup mulut pengkritik.

"Lagipun, dia memang sudah katakan sebelum ini yang dia fokus kepada Kejohanan Dunia dan sudah pasti persiapannya juga lebih berkualiti.

"Namun, bagi saya sekiranya bukan rezeki Zii Jia kali ini, tiada apa yang perlu dikesalkan selagi mana dia mempamerkan semangat juang yang tinggi dan saya percaya peminat juga boleh menerimanya.

"Kita juga tidak boleh pandang mudah terhadap potensi yang dimiliki Ginting, Lakshya Sen dan Tien Chen. Masing-masing ada kelebihan dan yang paling penting semuanya memburu kejuaraan dunia pertama mereka sekali gus menjadi pembakar semangat buat mereka," katanya.

Axelsen yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 berada di kelas tersendiri tahun ini apabila merangkul lima kejuaraan iaitu Seluruh England, Kejohanan Badminton Eropah, Terbuka Indonesia, Masters Indonesia dan Terbuka Malaysia - daripada lapan kejohanan individu yang disertainya.

Zii Jia pula yang menerima kritikan selepas menarik diri daripada Sukan Komanwel 2022 bagi memberikan fokus terhadap persiapan menghadapi Kejohanan Dunia merekodkan dua gelaran musim ini selepas menjuarai Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Thailand.

Sementara itu, ditanya mengenai kelibat juara bertahan dari Singapura, Loh Kean Yew dan pemain nombor dua dunia dari Jepun, Kento Momota, Rashid yang memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 berkata: "Dengan prestasi semasa Kean Yew ketika ini, saya fikir sukar untuk dia mempertahankan kejuaraannya.

"Momota pula saya lihat masih bergelut untuk kembali bangkit. Saya lihat sudah tiada apa yang istimewa dalam permainannya sekali gus membolehkan lawan mudah membaca pergerakannya, tidak seperti waktu mula dia naik dahulu," katanya.

Selepas menjuarai Kejohanan Dunia tahun lalu, Kean Yew bergelut untuk mencetuskan impak di pentas antarabangsa apabila gagal merekodkan sebarang gelaran tahun ini dengan paling hampir adalah muncul naib juara di Terbuka India selepas tewas di tangan Lakshya Sen dalam aksi final.

Lebih memeritkan, dia yang diletakkan antara pilihan bagi memenangi pingat emas dalam saingan individu di Sukan Komanwel Birmingham terpaksa akur tewas di tangan pemain muda negara, Ng Tze Yong di suku akhir.

Momota yang juga juara dunia dua kali turut berdepan situasi yang hampir sama apabila menyaksikan pencapaian terbaiknya tahun ini adalah menjadi naib juara di Terbuka Malaysia.

Berita Harian X