Jumaat, 1 Julai 2022 | 7:22pm
Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin meraikan kejayaan menewaskan pasangan China pada suku akhir badminton Terbuka Malaysia 2022 di Arena Axiata Bukit Jalil. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin meraikan kejayaan menewaskan pasangan China pada suku akhir badminton Terbuka Malaysia 2022 di Arena Axiata Bukit Jalil. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Izzuddin-Sze Fei mara ke separuh akhir

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei merekodkan pencapaian terbaik di pentas Terbuka Malaysia selepas mengesahkan tiket ke separuh akhir buat kali pertama, sebentar tadi.

Pasangan ranking ke-12 dunia itu menampilkan aksi terpuji apabila membenam cabaran beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 21-11, 22-20 dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil.

"Ia bukan perlawanan yang mudah untuk kami terutama di set kedua. Ketika itu agak tertekan juga terutama apabila mereka (Yu Chen-Xuan Yi) mendahului dan tidak mudah untuk mematikan serangan mereka.

"Namun, disebabkan kami lebih bersabar dalam permainan dan tidak melakukan kesilapan mudah, ia membantu kami untuk mencatat kemenangan hari ini," kata Sze Fei.

Sebagai rekod, ini adalah kemenangan kedua berturut-turut Izzuddin-Sze Fei ke atas beregu China yang di ranking ke-45 dunia itu selepas turut mengatasi mereka ketika aksi final Terbuka Jerman, Mac lalu.

Izzuddin-Sze Fei akan berdepan pemenang perlawanan antara satu lagi beregu negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dengan pasangan Indonesia yang juga pilihan keenam, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto bagi perebutan tempat ke pentas final, esok.

Sementara itu, beregu wanita negara, Teoh Mei Xing-Anna Cheong gagal meneruskan momentum mereka apabila tersingkir di suku akhir selepas tunduk kepada pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara 15-21, 21-23.

Semalam, pasangan muda negara itu cemerlang apabila mencipta kejutan menumbangkan pasangan nombor tiga dunia dari Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan untuk melangkah ke kelompok lapan terbaik.

Berita Harian X