Khamis, 30 Jun 2022 | 7:14pm
Pemain perseorangan Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito ketika menentang Lee Zii Jia pada pusingan kedua badminton Terbuka Malaysia 2022 di Arena Axiata Bukit Jalil. - NSTP/Asyraf Hamzah
Pemain perseorangan Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito ketika menentang Lee Zii Jia pada pusingan kedua badminton Terbuka Malaysia 2022 di Arena Axiata Bukit Jalil. - NSTP/Asyraf Hamzah

Shesar puas 'malukan' Zii Jia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito mengakui puas selepas berjaya menumbangkan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia di pusingan kedua Terbuka Malaysia, hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil itu, Shesar langsung tidak terkesan dengan sokongan padu diterima Zii Jia apabila dia memastikan tiket suku akhir menjadi miliknya menerusi kemenangan 19-21, 21-19, 16-21 dalam tempoh 66 minit.

Pemain berusia 28 tahun itu yang menduduki ranking ke-26 dunia turut membantu skuad Indonesia muncul juara Piala Thomas, tahun lalu, berkata kemenangan kali ini cukup 'istimewa' apabila dapat menewaskan Zii Jia di hadapan penyokongnya sendiri.

Lee Zii Jia tewas kepada Shesar dengan 19-21, 21-19, 16-21. - NSTP/Asyraf Hamzah
Lee Zii Jia tewas kepada Shesar dengan 19-21, 21-19, 16-21. - NSTP/Asyraf Hamzah

"Saya sangat bersyukur dengan kemenangan ini terutama apabila dapat menampilkan permainan terbaik saya dalam perlawanan ini.

"Saya gembira dapat menewaskan Zii Jia kerana bukan mudah untuk mengalahkan pemain tuan rumah dengan sokongan seperti ini. Namun, Zii Jia juga sebenarnya bermain dengan baik cuma apa yang membezakan kami hari ini adalah di beberapa mata terakhir.

"Kita dapat lihat Zii Jia sering buat kesilapan di beberapa mata akhir dan saya cuba yang terbaik untuk memanfaatkan peluang untuk mengutip mata" kata Shesar yang akan membuat perhitungan dengan juara dunia dua kali dari Jepun, Kento Momota di suku akhir, esok.

Sementara itu, Zii Jia yang menduduki ranking kelima dunia pula akur dengan kekalahan berkenaan dan mengakui masih banyak 'kerja rumah' yang perlu dilakukannya bagi mengekalkan tahap konsistensi dalam setiap kejohanan yang disertainya.

Aksi pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia pada kejohanan pusingan kedua badminton Terbuka Malaysia 2022 di Arena Axiata Bukit Jalil. - NSTP/Asyraf Hamzah
Aksi pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia pada kejohanan pusingan kedua badminton Terbuka Malaysia 2022 di Arena Axiata Bukit Jalil. - NSTP/Asyraf Hamzah

"Shesar bermain dengan baik hari ini, dalam pertemuan kami sebelum ini pun memang perlawanan sangat sengit. Jadi, dia adalah lawan yang sukar untuk saya.

"Apabila saya membuat keputusan menyertai kejohanan ini, memang saya akan berjuang habis-habisan dan jika ini adalah keputusannya saya perlu terima.

"Namun, kekalahan ini tidak melunturkan semangat dan tahap keyakinan saya (untuk hadapi kejohanan seterusnya)," kata Zii Jia yang akan mengalihkan fokus bagi menghadapi Masters Malaysia yang bermula Selasa ini.

Berita Harian X