Ahad, 26 Jun 2022 | 6:08pm
Jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia menguji gelanggang Axiata Arena menjelang aksi Terbuka Malaysia Selasa ini. - NSTP/ASWADI ALIAS.
Jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia menguji gelanggang Axiata Arena menjelang aksi Terbuka Malaysia Selasa ini. - NSTP/ASWADI ALIAS.

Zii Jia enggan 'layan' Chong Wei, James

KUALA LUMPUR: Fokus pemain badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia di Terbuka Malaysia 2022 tidak terganggu meskipun dihimpit kontroversi apabila menarik diri daripada mewakili Malaysia di Sukan Komanwel Birmingham bulan depan.

Pelbagai reaksi diterima pemain di ranking kelima dunia itu selepas membuat keputusan berkenaan walaupun sudah menjelaskan sebab utama 'menolak' mewakili negara di temasya empat tahun sekali itu bagi membolehkan dirinya memperoleh rehat mencukupi sebelum Kejohanan Dunia berlangsung di Tokyo dari 22 hingga 28 Ogos nanti.

Justeru, pemain berusia 24 tahun itu menegaskan dia enggan memanjangkan lagi isu berkenaan dan memberi tumpuan kepada kejohanan yang bakal disertainya selepas ini termasuk Terbuka Malaysia.

"Saya rasa takkan mengganggu atau memberi kesan kepada saya dalam persiapan ini (Terbuka Malaysia). Sebab itulah saya di sini sebagai pemain profesional kerana saya nak jauhkan daripada perkara sebegini.

"Saya tak akan membalas apa-apa komen mengenai perkara ini. Saya tak akan balas semula (kritikan) kerana saya mahu memberi fokus kepada badminton saja... hanya badminton!

"Mengenai isu, saya tak nak masuk campur dan sebab itulah saya mahu menjadi pemain profesional," kata Zii Jia kepada media selepas menguji gelanggang di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini.

Baru-baru ini, Zii Jia mengesahkan dirinya menarik diri daripada menyertai kontinjen negara ke Birmingham untuk memberi tumpuan penuh terhadap persiapan Kejohanan Dunia.

Keputusan sukar itu terpaksa dibuat Zii Jia dengan menyatakan faktor tubuh badannya yang perlu berehat selepas beraksi dalam banyak kejohanan secara berturut-turut sebelum ini.

Susulan keputusan kontroversinya itu, Zii Jia menerima tamparan hebat termasuk daripada legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang secara peribadi menyifatkan dirinya akan memilih empat temasya sukan utama iaitu Olimpik, Komanwel, Asia dan SEA sebelum memikirkan kejohanan lain termasuk Kejohanan Dunia.

Tidak cukup dengan itu, keputusan pemain dari Alor Setar, Kedah itu turut mengundang kritikan bekas pemain badminton kebangsaan, Datuk James Selvaraj yang mempersoalkan semangat kenegaraan dimiliki juara Terbuka England 2021 itu.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapannya menjelang Terbuka Malaysia yang bakal membuka tirainya Selasa ini, Zii Jia berkata: "Setakat ini semuanya OK, saya akan cuba sehabis baik dan dapatkan sesuatu daripada kejohanan ini.

"Saya tak mahu membuat jangkaan mengenai pesaing lain, bagi saya apa yang paling mencabar adalah diri sendiri," katanya yang tewas di tangan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen di separuh akhir Terbuka Indonesia baru-baru ini.

"Dalam semua perlawanan ada kalah menang dan itu satu pembelajaran dan pengalaman buat saya. Saya amat menantikan dan akan memberi tumpuan kepada Terbuka Malaysia," katanya.

Berita Harian X