Khamis, 23 Jun 2022 | 7:21pm
Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham, Monteiro Gerard Clair (depan dua kiri) bersama dengan pegawai dan pemain skuasy kebangsaan di Bukit Jalil, hari ini.
Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham, Monteiro Gerard Clair (depan dua kiri) bersama dengan pegawai dan pemain skuasy kebangsaan di Bukit Jalil, hari ini.

Ketiadaan Nicol cabaran buat negara di Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR: Ketiadaan Datuk Nicol Ann David bakal menjadi cabaran buat pasukan skuasy negara ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, namun Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) tetap optimis kilauan emas mampu dijelmakan.

Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Monteiro Gerard Clair yang juga Timbalan Ketua Kontinjen ke Birmingham berkata pasukan itu meletakkan sasaran untuk meraih emas dalam acara beregu wanita yang diwakili Rachel Arnold dan S Sivasangari.

Gandingan ini pernah menyertai kontinjen pada edisi di Gold Coast, Australia pada 2018 dan mereka pada ketika itu tewas di suku akhir di tangan pasangan England, Laura Massaro-Sarah Jane Perry 8-11, 10-11.

Justeru itu, Monteiro percaya gandingan ini mampu bangkit untuk menghasilkan kilauan pingat yang lebih bermakna pada penampilan di Birmingham nanti.

"Dulu skuasy ada Datuk Nicol yang pernah meraih emas pada 2010 dan 2014 namun sekarang beliau sudah bersara. Ia bakal menjadi cabaran tetapi pemain yang ada sudah bersiap sedia untuk berjuang dan kita sasarkan satu emas dalam acara beregu wanita ataupun campuran," katanyaselepas melawat Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Pada penampilan di Gold Coast, pasukan skuasy negara meraih satu gangsa menerusi Mohd Nafiizwan Adnan dalam acara perseorangan lelaki.

Sementara itu, Rachel dan Sivasangari yang mengumpul pengalaman menyertai Kejohanan Beregu Dunia di Glasgow, April lalu berkata, mereka kini sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik di Birmingham.

"Kami sudah melakukan yang terbak sejak Sukan Komanwel terakhir di Gold Coast. Kami tewas tipis di suku akhir.

"Untuk kali ini, kami sudah bersiap sedia dan harap dapat buat yang terbaik ke separuh akhir dan final. Kami sudah berupaya menunjukkan peningkatan dan cuba untuk tidak mudah kecewa ketka bermain," kata Rachel.

Berita Harian X