Khamis, 23 Jun 2022 | 4:43pm
Timbalan Chef De Mission (CDM) ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gerard Monteiro (dua dari kiri) mengadakan pertemuan dengan pemain badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Azhar Ramli.
Timbalan Chef De Mission (CDM) ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gerard Monteiro (dua dari kiri) mengadakan pertemuan dengan pemain badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Azhar Ramli.

Gerard kecewa Zii Jia tarik diri Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR: Timbalan ketua kontinjen negara, Gerard Monteiro mengakui kecewa selepas jaguh perseorangan badminton lelaki negara, Lee Zii Jia memutuskan untuk menarik diri daripada beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Beliau, berkata perkembangan itu menyaksikan kontinjen negara perlu menilai semula sasaran pingat di temasya berkenaan selepas badminton menjadi sandaran untuk menyumbang dua emas.

"Saya tidak boleh bercakap untuk pihak MOM (Majlis Olimpik Malaysia) atau BAM (Persatuan Badminton Malaysia) tetapi sebagai individu yang bertanggungjawab untuk kontinjen, saya kecewa kerana Sukan Komanwel adalah sukan untuk semua rakyat Malaysia.

"Kami memang meletakkan sandaran kepada dia (Zii Jia) untuk memenangi pingat. Kami sedar Kejohanan Dunia juga akan berlangsung tetapi ada jarak dua minggu (selepas Sukan Komanwel tamat) dan ini membuatkan kami kecewa apabila dia membuat keputusan ini.

"Dengan perkembangan terbaru ini, sudah pasti kami perlu melihat mengenai sasaran emas di Sukan Komanwel kali ini.

"Bagaimanapun, Wong Choong Hann dan Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia) percaya pemain lain mampu memainkan peranan untuk menghadirkan kejayaan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke sesi latihan skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Semalam, Zii Jia yang juga pemain nombor lima dunia mengesahkan dia menarik diri daripada beraksi di Sukan Komanwel bagi membolehkan dia memberikan fokus yang lebih terhadap persiapan bagi menghadapi Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun, yang berlangsung 22 hingga 28 Ogos.

Juara Asia itu, berkata keputusan berkenaan dibuat disebabkan faktor keadaan tubuh badannya selepas beraksi dalam banyak kejohanan berturut-turut yang menyaksikan dia tidak cukup rehat.

Bagaimanapun, dia akan cuba sedaya upaya untuk memastikan dia berada keadaan terbaik bagi beraksi di Terbuka Malaysia yang akan bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini dan Masters Malaysia 5 hingga 10 Julai.

Zii Jia baru sahaja pulang dari Jakarta, Isnin lalu selepas mengharungi dua kejohanan berturut-turut - Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia.

Berita Harian X