Khamis, 14 April 2022 | 4:16pm
Aksi Joo Ven ketika menewaskan Kwanghee pada pusingan kedua Korea Masters hari ini.
Aksi Joo Ven ketika menewaskan Kwanghee pada pusingan kedua Korea Masters hari ini.

Joo Ven 'smash' pilihan kelima

KUALA LUMPUR: Perseorangan profesional lelaki negara, Soong Joo Ven melakar kejutan apabila menyingkirkan pilihan kelima, Heo Kwanghee sekali gus mara ke suku akhir badminton Korea Masters hari ini.

Joo Ven yang menduduki ranking ke-68 dunia menundukkan pemain tuan rumah yang berada di ranking ke-30 itu 21-11, 21-19 pada pusingan kedua dalam tempoh 40 minit.

Pemain berusia 26 tahun itu dijadual menentang pemain Israel, Misha Zilberman yang menumpaskan lawannya dari Finland, Kalle Koljonen 21-12, 19-21, 22-20, esok.

Turut melangkah ke suku akhir adalah beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang mudah membenam lawan dari Israel, Misha Zilberman-Svetlana Zilberman 21-5, 21-8 dalam tempoh 21 minit.

Soon Huat-Shevon akan bertemu gandingan Singapura, Terry Jee-Tan Wei Han pada aksi suku akhir selepas lawan itu menumpaskan wakil tuan rumah, Kim Yong Hyuk-Kim Hye Jeong 22-20, 23-21.

Begitupun, nasib tidak menyebelahi beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Toh Ee Wei yang tewas di tangan gandingan China, Zheng Si Wei-Zhang Shu Xian 18-21, 14-21.

Turut gagal mara adalah pemain perseorangan profesional wanita, Goh Jin Wei yang tunduk di tangan pemain China, Wang Zhi Yi, 22-20, 7-21, 12-21 dalam tempoh 56 minit.

Berita Harian X