Selasa, 12 April 2022 | 6:12pm
Ketua jurulatih beregu campuran BAM, Paulus Firman. - Foto ihsan Stadium Astro
Ketua jurulatih beregu campuran BAM, Paulus Firman. - Foto ihsan Stadium Astro

BAM tawar Paulus kontrak sehingga 2024

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih menagih khidmat ketua jurulatih beregu campuran, Paulus Firman apabila dia ditawarkan kontrak baharu untuk kekal bersama badan induk itu sehingga Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah Kejurulatihan (beregu) BAM, Rexy Mainaky berkata ketika ini badan induk itu hanya menunggu jawapan daripada Paulus yang kontraknya bakal tamat pada 26 April ini sama ada mahu menerima tawaran berkenaan atau sebaliknya.

"Kami sudah memulakan rundingan dan mengemukakan tawaran sejak Januari lagi kerana kami tahu banyak proses yang perlu dilakukan termasuk membabitkan permit kerja Paulus.

"Jadi, sekarang ini terpulang kepada Paulus untuk memikirkan mengenai tawaran berkenaan sama ada terima atau sebaliknya. Ketika ini dia sedang bercuti selama satu minggu dan pulang ke Jakarta (Indonesia) dan akan kembali minggu depan.

"Saya percaya selepas dia pulang nanti, kita semua akan tahu keputusannya," kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara di sini, hari ini.

Sebagai rekod, Paulus mula kembali ke pangkuan BAM pada 2018 dan ketika itu dia diberi tanggungjawab sebagai ketua jurulatih beregu lelaki sebelum ditukarkan kepada beregu campuran pada Mei 2020.

Sebelum itu, Paulus pernah bersama BAM selama 10 bulan pada 2013 namun meletak jawatan dan menerima tawaran sebagai ketua jurulatih Filipina.

Antara pencapaian Paulus sejak kembali semula ke Malaysia pada 2018 adalah membantu beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada dalam kelompok ranking 10 terbaik dunia.

Selain itu, dia juga dilihat berjaya meningkatkan prestasi dua beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei yang menjadi watak penting kejayaan skuad negara mara ke separuh akhir Piala Sudirman di Vantaa, Finland, tahun lalu.

Berita Harian X