Selasa, 12 April 2022 | 3:52pm
Beregu campuran negara, Chan Peng Soon (kiri)-Toh Ee Wei. - Foto ihsan FB BAM
Beregu campuran negara, Chan Peng Soon (kiri)-Toh Ee Wei. - Foto ihsan FB BAM

3 wakil negara mara pusingan kedua Masters Korea

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Toh Ee Wei mengubati kekecewaan tersingkir awal di Master Orleans, bulan lalu apabila mengesahkan tempat ke pusingan kedua Masters Korea, hari ini.

Pasangan yang baharu digandingkan itu tidak berdepan berdepan masalah untuk mengatasi rakan senegera yang bergerak secara profesional, Soong Joo Ven-Goh Jin Wei 21-11, 21-20 di Stadium Gwangju Yeonju.

Ee Wei berkata ini baru kali kedua dia bergandingan bersama pemain berpengalaman, Peng Soon dan mengakui banyak lagi yang perlu dipelajari.

"Saya juga harus mempertingkatkan kombinasi di dalam gelanggang. Dia (Peng Soon) adalah seorang pemain berpengalaman dan akan sentiasa membimbing saya ke depan.

"Kami akan terus berusaha keras untuk aksi pusingan kedua walaupun saya masih lagi cuba untuk menyesuaikan diri dengan suasana kejohanan. Selama 10 bulan saya tidak masuk ke gelanggang sejak tahun lalu dan Masters Orleans adalah tugasan pertama saya," katanya.

Peng Soon-Ee Wei berdepan tugas sukar untuk memburu tiket ke suku akhir apabila dijadual bertemu pasangan China, Zheng Si Wei-Zhang Shu Xian yang sebelum itu menewaskan wakil tuan rumah Park Kyung Hoon-Kim Yu Jung, 21-6, 21-15.

Sementara itu, Joo Ven dan Jin Wei menebus kekalahan di tangan Peng Soon-Ee Wei dengan kejayaan mara ke pusingan kedua dalam acara perseorangan.

Joo Ven mara selepas menewaskan Jason Teh dari Singapura 21-8, 21-18 dan akan bertemu wakil tuan rumah yang juga pilihan kelima Heo Kwang Hee.

Jin Wei pula berjaya mengalahkan Phittayaporn Chai wan dari Thailand 21-12, 19-21, 21-11 dan akan menentang wakil China, Wang Zhi Yi bagi perebutan tempat ke suku akhir.

Berita Harian X