Rabu, 6 April 2022 | 3:38pm
Aksi V Shem-Juan Shen ketika menentang Azriyn-Khim Wah pada pusingan pertama Terbuka Korea.
Aksi V Shem-Juan Shen ketika menentang Azriyn-Khim Wah pada pusingan pertama Terbuka Korea.

V Shem-Juan Shen lolos ke pusingan kedua

KUALA LUMPUR: Hanya beregu profesional lelaki negara, Goh V Shem-Low Juan Shen mara ke pusingan kedua Terbuka Korea, hari ini manakala Soong Joo Wen dan Liew Daren gagal melepasi halangan masing-masing.

Beraksi dalam tempoh 39 minit, V Shem-Juan Shen jelas tidak berdepan masalah untuk mara apabila menewaskan rakan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Lim Khim Wah 21-17, 21-19 sekali gus mengikuti jejak sembilan lagi wakil negara yang sudah menempah tiket lebih awal ke pusingan kedua esok.

Antara yang layak adalah pasangan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang dijadual bertemu wakil tuan rumah, Na Sung Seung-Kim Min Ji dan Goh Soon Huat-Shevon Lai melawan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito.

Ong Yew Sin-Goh Liu Ying pula dijadual bertemu halangan sukar apabila perlu menangani pilihan utama kejohanan, Seo Seungjae-Chae Yujung.

Turut melangkah adalah pemain perseorangan profesional wanita, Goh Jin Wei dan bekas juara remaja dunia dua kali itu dijadual bertemu Lee Se Yeon dari Korea Selatan.

Pemain perseorangan lelaki negara yang sedang meningkat naik, Ng Tze Yong dijadual bertemu Kim Donghun dari Korea Selatan manakala pasangan wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien bertemu pasangan Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard.

Selain itu dalam acara perseorangan lelaki turut bakal menyaksikan aksi Cheam June Wei dan pemain berusia 25 tahun itu bakal bertemu pemain China, Weng Hong Yang.

Beregu lelaki, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong pula dijadual bertemu pilihan keempat kejohanan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto manakala V Shem-Juan Shen bertemu pasangan tuan rumah Kang Minhyuk-Seo Seungjae.

Turut beraksi dalam beregu lelaki adalah Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan pilihan keenam berkenaan dijadual bertemu pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin.

Berita Harian X