Khamis, 17 March 2022 | 7:07pm
Gambar fail - Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin (kiri) ketika beraksi pada kejohanan berpasukan Asia di Shah Alam, baru-baru ini. - Foto BERNAMA
Gambar fail - Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin (kiri) ketika beraksi pada kejohanan berpasukan Asia di Shah Alam, baru-baru ini. - Foto BERNAMA

Kecederaan lutut punca beregu negara tersingkir awal

KUALA LUMPUR: Masalah kecederaan lutut yang kembali menghantui pemain beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani menjadi antara faktor membuatkan dia dan gandingannya, Goh Sze Fei terpaksa pulang awal selepas tersingkir di pusingan pertama Seluruh England, awal pagi tadi.

Pasangan ranking ke-17 dunia itu terpaksa akur apabila tewas di tangan beregu China, He Ji Ting-Tan Qiang 15-21, 21-19, 11-21 dalam aksi yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham, United Kingdom.

Sebelum ini, Izzuddin berdepan dengan kecederaan lutut ketika aksi final Terbuka Jerman, Ahad lalu yang menyaksikan dia dan Sze Fei berjaya muncul juara selepas mengatasi pasangan China, Liu Yuchen-Ou Xuanyi 23-21, 16-21, 21-14.

Pengarah Kejurulatihan (beregu) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, berkata fokus Izzuddin terganggu disebabkan masalah kecederaan yang menimpa dirinya itu.

"Izzuddin tidak berani untuk mempercepatkan pergerakannya kerana ada rasa takut disebabkan lututnya masih sakit. Dia cuba bermain dengan laju di set kedua tetapi set ketiga dia sudah berasa sakit sekali gus membuatkan fokusnya terganggu," kata Rexy kepada BH Sukan.

Sementara itu, Rexy berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan beregu lelaki muda negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang hampir mengejutkan juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi apabila memberikan tentangan sengit sehingga mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum terpaksa akur tewas 17-21, 21-18, 21-23.

"Ini adalah penampilan pertama mereka dalam saingan Seluruh England dan prestasi yang mereka tunjukkan adalah sangat baik. Saya amat gembira dengan prestasi mereka, cuma apabila berdepan detik penting, mereka kurang berani.

"Dari segi permainan, saya fikir tidak banyak masalah namun mereka bekerja keras bagi menguatkan lagi fizikal mereka," katanya.

Berita Harian X