Isnin, 21 Februari 2022 | 8:21pm
Gambar fail - Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.
Gambar fail - Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Yew Sin-Ee Yi berpeluang disenaraikan ke Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berpeluang untuk berada dalam senarai pemain mewakili pasukan lelaki kebangsaan pada saingan Piala Thomas 2022 di Bangkok, Mei ini.

Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky berkata, pihaknya sudah mempunyai perancangan bagi gandingan itu dengan percaturan awal menyenaraikan Man Wei Chong-Tee Kai Woon ke temasya Sukan SEA Vietnam yang turut berlangsung pada bulan sama.

"Memang kita ada bincang dan ia ada dalam perancangan saya iaitu kita tak boleh melupakan Ee Yi-Yew Sin. Ini kerana pada waktu itu (Mei) juga, ada Sukan SEA.

"Jadi kita memberikan peluang kepada Kai Woon-Wei Chong untuk buktikan sesuatu di Sukan SEA yang ada acara berpasukan dan juga individu.

"Mereka akan berdepan lawan sama, pemain muda Indonesia juga akan bermain di Sukan SEA. Jadi Ee Yi-Yew Sin akan kita masukkan dalam pertimbangan untuk mengambil mereka kerana kita perlu mempersiapkan pasukan untuk Mei nanti," kata Rexy.

Yew Sin-Ee Yi mempamerkan prestasi menakjubkan pada musim lalu dengan meraih tiga pingat gangsa masing-masing pada Kejohanan Dunia BWF 2021, Jelajah Dunia Final dan Masters Indonesia.

Selain itu, gandingan yang berada di ranking ke-11 dunia itu turut berada di suku akhir dalam enam kejohanan disertai tahun lalu.

Kejohanan berkenaan adalah Terbuka Indonesia, Terbuka Perancis, Terbuka Denmark, Terbuka Switzerland, Terbuka Thailand Toyota dan Terbuka Thailand Yonex.

Berita Harian X