Isnin, 17 Januari 2022 | 7:17pm
Beregu campuran kebangsaan, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei. - Foto ihsan Facebook BAM
Beregu campuran kebangsaan, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei. - Foto ihsan Facebook BAM

Tang Jie-Yen Wei puas hati pencapaian Terbuka India

KUALA LUMPUR: Finalis beregu campuran Terbuka India, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei sedar akan jadual padat yang bakal mereka harungi bagi musim ini dengan tumpuan seterusnya adalah pada Kejohanan Antarabangsa India bermula esok.

Yen Wei berkata dia dan Tang Jie secara keseluruhannya merumuskan penyertaan mereka di Terbuka India yang juga kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 500 itu sebagai medan mengumpul pengalaman berharga.

"Secara keseluruhannya, saya berpuashati dengan prestasi kami di Terbuka India. Ini penampilan pertama kali di final siri 500," kata Yen Wei.

'Malangnya kami tak dapat meraih gelaran tetapi kami dapat belajar banyak perkara dalam kejohanan ini dan saya percaya kami mampu melakukan yang lebih baik di masa akan datang."

Pada aksi final semalam, Tang Jie-Yen Wei tewas 15-21, 18-21 kepada pasangan Singapura, Terry Hee-Tan Wei Han dalam pertarungan yang berlangsung 40 minit di KD Jadhav Indoor Hall, New Delhi itu.

Detik itu pastinya menjadi pendorong semangat buat Tang Jie-Yen Wei untuk melangkah ke Kejohanan Antarabangsa India dengan lebih berkeyakinan esok.

Tang Jie-Yen Wei yang berada di ranking ke-40 dunia, diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan dan dijadual bertemu pasangan tuan rumah, Pratik Ranade-Kanika Kanwal di pusingan pertama.

Turut beraksi adalah pilihan kelima kejohanan, Chan Peng Soon-Valeree Siow yang dijadual bertemu HV Nithin-K Ashwini Bhat yang juga rakan senegara Ranade-Kanwal.

"Sasaran tahun ini, kami harap dapat menaikkan ranking kami dalam kelompok 20 terbaik. Banyak kejohanan besar yang dijadualkan tahun ini.

"Saya akan terlebih dulu memberi fokus kepada kejohanan terdekat iaitu Antarabangsa India (Jelajah Dunia Super 300) dan selepas itu akan berbincang dengan jurulatih apakah perancangan seterusnya buat kami," katanya.

Berita Harian X