Ahad, 16 Januari 2022 | 9:31pm
Pemain tenis Serbia, Novak Djokovic meninggalkan Park Hotel yang menjadi pusat tahanan kerajaan Australia sebelum menghadiri sesi pendengaran kesnya di pejabat peguamnya di Melbourne. Djokovic gagal dalam usaha untuk mengelak dihantar pulang sekali gus tidak akan dapat mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia di Melbourne. - Foto EPA.
Pemain tenis Serbia, Novak Djokovic meninggalkan Park Hotel yang menjadi pusat tahanan kerajaan Australia sebelum menghadiri sesi pendengaran kesnya di pejabat peguamnya di Melbourne. Djokovic gagal dalam usaha untuk mengelak dihantar pulang sekali gus tidak akan dapat mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia di Melbourne. - Foto EPA.

Djokovic berlepas tinggalkan Australia

MELBOURNE: Bintang tenis, Novak Djokovic berlepas meninggalkan Australia selepas mahkamah mengekalkan keputusan kerajaan untuk membatalkan visanya sekali gus menamatkan drama mengenai isu kemasukannya yang tidak divaksin ke negara itu.

Keputusan sebulat suara oleh tiga hakim Mahkamah Persekutuan itu memberi tamparan kepada impian Djokovic dalam memburu gelaran Grand Slam ke-21 pada Terbuka Australia yang akan membuka tirainya, esok.

Bintang Serbia itu menuju ke lapangan terbang beberapa jam selepas keputusan itu dikeluarkan dengan dia bersama pasukannya diiringi ejen persekutuan bermula dari bilik rehat sehingga ke balai pelepasan.

Djokovic menaiki penerbangan Emirates ke Dubai dan waktu penerbangannya adalah 11 malam waktu tempatan.

Pemain nombor satu dunia itu sebelum ini ditahan pihak berkuasa imigresen pada 6 Januari sebelum dibebaskan atas arahan mahkamah pada 10 Januari dan ditahan kembali pada Sabtu untuk pendengaran kes di mahkamah.

Djokovic mengakui kecewa dengan keputusan terbabit yang menyebabkan dia tidak dibenarkan bertanding pada kejohanan itu.

"Saya menghormati keputusan mahkamah dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi meninggalkan negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Djokovic mengemukakan rayuan terhadap Menteri Imigresen, Alex Hawke yang menggunakan kuasanya untuk membatalkan visa pemain itu.

Hawke menjelaskan Djokovic mampu memberi ancaman kepada masyarakat umum kerana kehadirannya akan menggalakkan sentimen antivaksin khususnya selepas Australia berdepan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak.

- REUTERS

Berita Harian X