Ahad, 16 Januari 2022 | 6:57pm
Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong. - Foto ihsan Facebook BAM.
Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong. - Foto ihsan Facebook BAM.

Tze Yong raih pengalaman berharga di Terbuka India

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong menyifatkan penyertaan sulungnya dalam Kejohanan berstatus Super 500 Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Terbuka India sebagai satu pengalaman berharga.

Pemain berusia 21 tahun itu berjaya melangkah sehingga ke pentas separuh akhir malam tadi, namun terpaksa akur dengan kelebihan lawan lebih berpengalaman yang juga pilihan ketiga dari India, Lakshya Sen 21-19, 16-21, 12-21.

Tze Yong mengakui dirinya dapat mengikut rentak perlawanan Sen terutama pada dua set awal, namun akur dengan kehebatan lawan yang mula menunjukkan taringnya di set penentuan.

"Masa set pertama, saya rasa dapat mengikut rentaknya. Pada set kedua ketika mendahului 12-10, saya agak hilang fokus dan pada set penentuan, dia menambah lagi corak kelajuan permainan dan saya tak dapat mengikut rentaknya lagi.

"Apapun, secara keseluruhan, saya gembira dengan keputusan sebegini kerana ini adalah kejohanan 500 pertama saya untuk saya.

"Saya rasa ada peningkatan daripada sudut kelajuan saya kerana saya boleh mengikut rentak lawan tetapi hanya di set pertama, kedua dan pada set penentuan, ia seperti agak sukar. Jadi saya perlu memperbaikinya lagi," kata Tze Yong.

Tze Yong yang meraih tiga gelaran pada musim lalu iaitu Terbuka Poland, Kejohanan Belgium Antarabangsa dan Terbuka Scotland, selepas ini dijadual menyertai Kejohanan Antarabangsa India di Lucknow, bermula Selasa ini.

Berita Harian X