Sabtu, 15 Januari 2022 | 3:28pm
Peng Soon-Valaree terkandas di suku akhir Terbuka India semalam.
Peng Soon-Valaree terkandas di suku akhir Terbuka India semalam.

'Kami belum mantap lagi'

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon merumuskan kombinasinya bersama gandingan baharu, Valeree Siow perlu dipertingkatkan lagi.

Selepas mengharungi penampilan sulung bersama di Terbuka India sehingga ke suku akhir semalam, pemenang pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Goh Liu Ying itu bertekad untuk terus membentuk gandingan yang lebih mantap bersama Valeree.

"Kami kena pertingkatkan lagi kombinasi antara kami kerana apabila bertemu lawan di peringkat lebih tinggi, saya dapat lihat kombinasi kami masih belum cukup mantap lagi.

"Jadi selepas ini, saya dan Valeree akan berusaha lebih gigih untuk mempertingkatkan lagi kombinasi antara kami berdua," kata Peng Soon.

Pada aksi suku akhir semalam, Peng Soon-Valeree yang diletakkan sebagai pilihan kelima tewas di tangan lawan lebih kuat dari Russia, Rodion Alimov-Alina Davletova 14-21, 13-21 dalam tempoh 29 minit.

"Kali ini saya dan Valeree bertemu lawan yang berada di peringkat lebih tinggi. Apapun, secara keseluruhan, saya rasa masih OK. Saya pun berasa puas dengan permainan kami, cuma kami perlu pertingkatkan lagi kombinasi," katanya.

Valeree dipilih sebagai gandingan baharu Peng Soon selepas pemain senior itu mengumumkan berpisah dengan Liu Ying, bulan lalu selepas bergandingan selama 13 tahun.

Peng Soon, 33, seterusnya kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk meneruskan cabaran di Sukan Olimpik Paris 2024.

Berita Harian X