Jumaat, 14 Januari 2022 | 6:18pm
Aksi Kian Meng-Pei Jing ketika menewaskan Konstantin Abramov-Anastasiia Akchurina.
Aksi Kian Meng-Pei Jing ketika menewaskan Konstantin Abramov-Anastasiia Akchurina.

Kian Meng-Pei Jing mara ke separuh akhir

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menepati ramalan apabila melangkah ke separuh akhir badminton Terbuka India, hari ini.

Kian Meng-Pei Jing yang diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan mudah menewaskan pasangan dari Russia, Konstantin Abramov-Anastasiia Akchurina 21-10, 21-14 dalam tempoh 31 minit.

Pada aksi separuh akhir esok, Kian Meng-Pei Jing dijadual bertemu rakan senegara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei yang menewaskan pasangan India, Venkat Gaurav Prasad-Juhi Dewangan 21-10, 21-13.

Apapun, kemenangan itu mencerahkan peluang pasangan yang berada di ranking ke-10 dunia itu menamatkan kemarau kejuaraan selepas kali terakhir menjuarai Malaysia Masters pada 2017.

Bagaimanapun, kejayaan Kian Meng-Pei Jing gagal dituruti Chan Peng Soon-Valeree Siow apabila tewas di tangan pilihan kedua dari Russia, Rodion Alimov-Alina Davletova 14-21, 13-21.

Pasangan yang baharu digandingkan itu tewas dalam tempoh 29 minit sekali gus menutup aksi pembuka tirai kempen 2022 yang berlangsung di Dewan Tertutup K.D. Jadhav, New Delhi itu.

Untuk rekod, Valeree dipilih sebagai gandingan baharu Peng Soon selepas pemain senior itu mengumumkan berpisah dengan Liu Ying, bulan lalu selepas bergandingan selama 13 tahun.

Peng Soon seterusnya kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk meneruskan cabaran di Sukan Olimpik Paris 2024.

Berita Harian X