KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong sekali lagi terpaksa 'mandi peluh' sebelum menundukkan Lucas Claerbout pada pusingan kedua Terbuka India, hari ini.
Selepas beraksi sejam ketika mengejutkan pilihan ketujuh dari Indonesia, Tommy Sugiarto pada pusingan pertama semalam, pemain berusia 21 tahun itu dikerah beraksi selama satu jam 17 minit sebelum menewaskan pemain Perancis itu 20-22, 21-15, 21-18.
Kemenangan itu membolehkan pemain yang menduduki ranking ke-60 dunia itu mara ke suku akhir esok.
Bagaimanapun, hajat pemain perseorangan lelaki profesional negara, Soong Joo Ven untuk meleburkan ego juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew tidak kesampaian.
Joo Ven yang bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) tewas 12-21, 12-21 di tangan pilihan kelima itu dalam tempoh 33 minit sekali gus merekodkan kekalahan pertamanya di tangan pemain Singapura itu.
Terdahulu, pasangan pilihan pertama beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Ping mudah menewaskan Siddharth Jakhar-Megha Morchana Bora 21-6, 21-11 untuk mara ke suku akhir.
Kian Meng-Pei Jing dijadual bertemu beregu Russia, Konstantin Abramov-Anastasiia Akchurina yang meraih kemenangan percuma selepas pasangan tuan rumah yang juga pilihan ketujuh, Dhruv Kapila-Reddy N Sikki menarik diri susulan menjadi kontak rapat COVID-19 kepada rakan sepasukan.
Turut mara ke suku akhir adalah pasangan beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi selepas Utkarsh Arora-Akshan Shetty menarik diri susulan isu sama.
Yew Sin-Ee Yi dijadual bertemu Ishaan Bhatnagar-Sai Pratheek K di suku akhir.
Pasangan beregu campuran, Cheng Tang Jie-Peck Yen Wei pula dijadual bertemu pilihan kelapan dari India, Venkat Gaurav Prasad-Juhi Dewangan apabila meraih tiket percuma ke suku akhir selepas lawan mereka di pusingan kedua, Sai Pratheek K-Gayatri Gopichand Pullela menarik diri.
Dalam pada itu, pilihan kelima beregu campuran, Chan Peng Soon-Valeree Siow turut mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan India, Kashish Sharma-Saruni Sharma 21-6, 21-8 dalam tempoh 19 minit.