Selasa, 11 Januari 2022 | 6:35pm
Joo Ven tumpaskan Shirag Sen 21-8, 21-7 dalam aksi pusingan pertama Terbuka India, hari ini.
Joo Ven tumpaskan Shirag Sen 21-8, 21-7 dalam aksi pusingan pertama Terbuka India, hari ini.

Joo Ven tekad lebur ego Kean Yew

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Soong Joo Ven berjanji tidak akan memberi laluan mudah kepada juara dunia, Loh Kean Yew sekali gus mengintai peluang menewaskan bintang Singapura itu apabila mereka membuat perhitungan dalam aksi pusingan kedua Terbuka India, Khamis ini.

Terdahulu, Joo Ven yang kini bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) mara ke kelompok 16 terbaik selepas tidak berdepan masalah menewaskan pemain India, Shirag Sen 21-8, 21-7 dalam aksi pusingan pertama, hari ini.

Kean Yew pula yang mencipta sensasi menjadi pemain pertama Singapura muncul juara dunia di Sepanyol , bulan lalu bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemaraan dengan menewaskan pemain Kanada, Xiaodong 16-21, 21-4, 21-13.

"Saya bermain dengan baik dalam perlawanan hari ini (semalam). Paling penting saya dapat beraksi dengan corak permainan yang saya mahukan.

"Untuk aksi pusingan kedua, ia perlawanan yang sukar dan saya perlu buat persiapan. Saya memang teruja untuk bertemu dengan Kean Yew apatah lagi dia memang kawan saya," kata Joo Ven selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara yang juga pilihan pertama kejohanan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mara ke pusingan kedua apabila menewaskan wakil tuan rumah, Pratik Ranade-Kanika Kanwal 21-10 21-11.

Mengikut jejak langkah mereka adalah satu lagi beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei yang turut menewaskan gandingan tuan rumah, M R Arjun-Treesa Jolly 21-11 21-6.

Berita Harian X