Rabu, 5 Januari 2022 | 6:43pm
Chan Peng Soon ketika bergandingan dengan Goh Liu Ying dalam satu kejohanan sebelum ini.
Chan Peng Soon ketika bergandingan dengan Goh Liu Ying dalam satu kejohanan sebelum ini.

Perbezaan usia bukan halangan buat Peng Soon

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran berpengalaman, Chan Peng Soon menganggap perbezaan usia yang jauh dengan gandingan baharunya, Valeree Siow bukan satu masalah besar untuk mereka membentuk kombinasi ampuh bagi mencabar kelompok utama dunia.

Kedua-dua pemain itu dibezakan dengan jarak usia 14 tahun dengan Peng Soon ketika ini berusia 33 tahun manakala Valeree 19.

"Saya tidak pernah memikirkan mengenai perbezaan usia kami, tidak kira dia usia 20 atau 30 tahun, dia tetap pasangan saya. Apa yang paling penting adalah komunikasi kami dalam gelanggang," kata Peng Soon yang memenangi pingat perak Olimpik Rio 2016 bersama Goh Liu Ying.

Valeree dipilih sebagai gandingan baharu Peng Soon selepas pemain senior itu mengumumkan berpisah dengan Liu Ying, bulan lalu selepas bergandingan selama 13 tahun. Peng Soon seterusnya kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk meneruskan cabaran di Sukan Olimpik Paris 2024.

Ujian pertama buat gandingan itu adalah pada Terbuka India yang akan berlangsung di New Delhi bermula 11 hingga 16 Januari.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan akan membuka tirai saingan menentang pasangan tuan rumah, Raju Mohamed Rehan-Jamaludin Anees Kowsar di pusingan pertama.

"Saya fikir tiada masalah besar buat kami untuk menghadapi aksi pusingan pertama dan kedua. Cabaran sebenar mungkin bermula di peringkat suku akhir.Setakat ini, semua okey. Valeree pemain muda dan laju, jadi saya ikut sahaja.

"Dia masih muda daripada beregu wanita tukar jadi beregu campuran, masih banyak skil beregu campuran yang kena belajar. Sebab itu minggu lalu, saya datang awal (untuk latihan) berpasangan dengannya jadi boleh tengok kombinasi kami," katanya.

Berita Harian X