Sabtu, 18 Disember 2021 | 4:08pm

BAM minta kerajaan timbang semula pemotongan peruntukan sukan

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula keputusan berhubung pemotongan peruntukan bagi bidang sukan untuk tahun 2022.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata dengan banyak kejohanan dan temasya utama akan berlangsung tahun depan, peruntukan kewangan yang sewajarnya sangat penting.

"Sudah pasti ini berita yang menyedihkan dari aspek pemotongan peruntukan. Saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan semula keputusan ini.

"Sudah pasti ia akan memberi kesan kepada kami (BAM) kerana banyak kejohanan utama akan berlangsung tahun depan. Jadi, saya harap kerajaan pertimbangkan semula kerana masih ada masa…sekarang baru Disember.

"Saya harap akan ada berita baik berhubung perkara ini," kata Kenny ketika ditemui selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) dan pelancaran logo baharu Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) di sini, hari ini.

Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini menetapkan pencapaian di peringkat tertinggi sebagai petunjuk prestasi utama untuk membolehkan atlet kekal dalam program latihan bermula tahun 2022.

Berdepan realiti tiadanya peruntukan khusus untuk meneruskan Program Podium yang berakhir sebaik tamatnya temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020, penetapan syarat lebih ketat ini adalah langkah yang perlu diperkenalkan semula.

Penilaian prestasi atlet dinilai sejak dari 2019 susulan dunia sukan negara dan antarabangsa seolah-olah terhenti sementara sepanjang tahun 2020 sehingga kini.

Tindakan ini diterjemahkan dengan langkah mengekalkan atlet yang benar-benar layak bagi program latihan sepenuh masa untuk tempoh persiapan menghadapi tiga temasya utama – Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia/ Para Asia – pada tahun depan.

Jumlah atlet yang dikenalpasti akan kekal mengikuti program latihan secara sepenuh masa adalah seramai 288 atlet yang juga kumpulan atlet berpotensi meraih pingat pada tiga temasya sukan berkenaan.

Presiden KLBA, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos (belakang, dua dari kiri) melihat pemain KLBA, Mohd Hafiz Mohd Iskandar mengibar bendera yang memaparkan logo baru KLBA di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Owee Ah Chun
Presiden KLBA, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos (belakang, dua dari kiri) melihat pemain KLBA, Mohd Hafiz Mohd Iskandar mengibar bendera yang memaparkan logo baru KLBA di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Owee Ah Chun
Berita Harian X