Isnin, 6 Disember 2021 | 3:31pm
Liu Ying dan Chan Peng Soon menarik diri daripada Kejohanan Dunia.
Liu Ying dan Chan Peng Soon menarik diri daripada Kejohanan Dunia.

Saya memang sudah tidak boleh tahan - Liu Ying

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying memohon maaf apabila terpaksa membuat keputusan menarik diri daripada aksi di Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol yang dijadual bermula 12 hingga 19 Disember ini.

Liu Ying, 32, berkata tahap kecergasan menjadi faktor utama membuatkan mereka mengambil keputusan sukar berkenaan selepas beraksi dalam enam kejohanan sejak Oktober lalu.

"Mungkin disebabkan faktor usia (yang semakin meningkat), tubuh badan saya mengambil masa untuk pulih sekali gus menyukarkan untuk kami berdua berada pada tahap prestasi terbaik. Satu lagi kejohanan akan menambah bebanan ke atas tubuh badan kami.

"Ia sekali gus tidak membolehkan kami untuk mencapai matlamat yang kami tetapkan. Selain itu, faktor pandemik (COVID-19) juga menghadirkan kebimbangan kepada kami.

"Selepas mempertimbangkan semua perkara, kami buat keputusan untuk menarik diri. Saya sedar Kejohanan Dunia adalah sangat bermakna buat semua atlet.

"Saya mohon maaf kerana tidak dapat membawa cabaran Malaysia kali ini. Saya memang sudah tidak boleh tahan, terima kasih kepada semua termasuklah penaja kami… tanpa anda kami tidak dapat menyertai kejohanan," kata Liu Ying menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Di Huelva, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu mendapat bye di pusingan pertama.

Keputusan Peng Soon-Liu Ying itu menyaksikan saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia menjadi kejohanan terakhir mereka tahun ini yang menyaksikan pasangan itu mara sehingga ke separuh akhir sebelum tewas di tangan Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand, Sabtu lalu.

Sebelum itu, pasangan ranking nombor sembilan dunia berkenaan sudah beraksi dalam lima kejohanan bermula Terbuka Denmark, Terbuka Perancis, Terbuka Hylo, Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia sejak Oktober lalu.

Berita Harian X