Khamis, 25 November 2021 | 7:56pm
Aksi Ee Yi-Yew Sin ketika menentang Aaron-Wooi Yik di Terbuka Indonesia, hari ini.
Aksi Ee Yi-Yew Sin ketika menentang Aaron-Wooi Yik di Terbuka Indonesia, hari ini.

Ee Yi-Yew Sin 'ajar' Aaron-Wooi Yik

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin berpeluang melunaskan dendam ke atas pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo apabila mereka dijadual membuat perhitungan dalam aksi suku akhir Terbuka Indonesia di Bali, esok.

Terdahulu, Ee Yi-Yew Sin mara ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan pasangan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-14, 21-17 dalam aksi pusingan kedua, hari ini manakala Marcus-Kevin mengatasi Choi Solgyu-Kim Wonho dari Korea Selatan 12-21, 21-19, 21-18.

Minggu lalu, Ee Yi-Yew Sin yang berada di kedudukan ke-12 dunia tewas di tangan Marcus-Kevin ketika suku akhir Masters Indonesia.

Kekalahan di Masters Indonesia menyaksikan pasangan negara itu tewas semua enam perlawanan dengan jaguh Indonesia berkenaan.

Sementara itu, saingan beregu wanita menyaksikan tiga wakil negara, Pearly Tan-M Thinaah, Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sin gagal meneruskan kemaraan apabila terkandas di pusingan kedua selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan kelapan tunduk kepada pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi 21-14, 20-22, 17-21.

"Keputusan hari ini, memang sangat mengecewakan kerana kami sepatutnya memang perlawanan ini. Namun, ini adalah pengajaran untuk kami.

"Dalam perlawanan ini, kami boleh nampak tahap kecergasan dan fokus dalam gelanggang belum sampai standard yang tinggi. Kami belum matang dalam permainan lagi dan masih banyak yang kami perlu perbaiki," kata Pearly.

Meng Yean-Cheng Wen pula akur dengan kekalahan di tangan pilihan kelima dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 14-21, 15-21 manakala Vivian-Chiew Sin tewas kepada pilihan ketiga dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 26-24, 12-21, 11-21.

Berita Harian X