Rabu, 27 Oktober 2021 | 11:49pm
Zii Jia tersingkir di pusingan pertama Terbuka Perancis. - Foto Badminton Association of Malaysia - BAM
Zii Jia tersingkir di pusingan pertama Terbuka Perancis. - Foto Badminton Association of Malaysia - BAM

Zii Jia kena 'smash' di Terbuka Perancis

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menerima tamparan hebat apabila tersingkir di pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Perancis, hari ini.

Juara All England yang juga pemain ranking kelapan dunia itu tewas kepada pemain Singapura, Loh Kean Yew 22-24, 14-21 dalam aksi selama 39 minit di Stade Pierre de Coubertin.

Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh memperagakan kebangkitan pada set pertama apabila menyamakan kedudukan 20-20 selepas ketinggalan 14-18.

Namun, jaguh perseorangan negara itu terpaksa akur tewas 22-24 kepada pemain ranking ke-40 dunia itu.

Kekalahan itu jelas menjejaskan aksi Zii Jia pada set kedua apabila dia gagal bangkit untuk mengheret aksi ke set penentuan apabila tewas 14-21.

Ia adalah kekalahan pertama Zii Jia kepada pemain Singapura itu dalam tiga pertemuan mereka setakat ini.

Sementara itu, pasangan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tampak tidak berdepan masalah untuk menewaskan rakan senegara yang bergerak secara profesional, Goh V Shem-Low Juan Shen 25-23, 21-12.

Turut melangkah ke pusingan kedua beregu wanita negara, Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen yang menewaskan pasangan dari Ukraine, Maria Stoliarenko-Yelyzaveta Zharka 21-12, 21-17.

Berita Harian X