Jumaat, 22 Oktober 2021 | 9:46pm
Beregu lelaki muda negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei. - Foto ihsan Facebook BAM.
Beregu lelaki muda negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei. - Foto ihsan Facebook BAM.

Izzuddin-Sze Fei cipta kejutan Terbuka Denmark

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki muda negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei mencipta kejutan apabila melangkah ke separuh akhir Terbuka Denmark di Odense, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas pasangan ranking ke-26 dunia itu menumbangkan pilihan keempat kejohanan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto 21-18, 21-17 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama 34 minit.

Sebagai rekod, ini adalah kali pertama Izzuddin-Sze Fei berjaya menewaskan lawan berkenaan selepas tewas dalam tiga pertemuan sebelum ini.

Pasangan yang masing-masing berusia 23 dan 24 tahun itu akan menentang pemenang perlawanan antara Muhammad Shobibul Fikri-Bagas Maulan dari Indonesia dengan beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen bagi merebut tiket ke pentas final, esok.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing memberi tentangan sengit kepada pasangan nombor lima dunia dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino sebelum tewas 21-19, 12-21, 14-21.

Berita Harian X