Jumaat, 9 April 2021 | 9:01pm
Datuk Lee Chong Wei (kiri) bersama Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria pada majlis menandatangani perjanjian penajaan antara BAM dan Yonex Sunrise di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, Kuala Lumpur. - Foto ihsan Facebook BAM.
Datuk Lee Chong Wei (kiri) bersama Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria pada majlis menandatangani perjanjian penajaan antara BAM dan Yonex Sunrise di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, Kuala Lumpur. - Foto ihsan Facebook BAM.

Peranan berbeza, namun impian Chong Wei tetap sama

KUALA LUMPUR: Peranan berbeza tetapi impian tetap sama.

Itu reaksi bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei ketika diajukan soalan mengenai harapannya untuk melihat atlet negara memenangi pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai depan.

Chong Wei akan mengetuai cabaran Malaysia pada Sukan Olimpik tahun ini selepas dilantik sebagai ketua kontinjen ke Tokyo.

Peranan Chong Wei sebagai ketua kontinjen negara ke Tokyo dilihat mampu memberikan impak yang besar berdasarkan pengalamannya yang empat kali membuat penampilan pada temasya berprestij dunia itu ketika bergelar pemain badminton.

Katanya, selepas usahanya untuk memenangi emas tidak kesampaian, dia berharap ada atlet yang mampu merealisasikan impian itu di Tokyo nanti.

"Dulu saya pemain tetapi sekarang pegawai. Saya mungkin tidak berjaya memenangi emas tetapi saya berharap saya boleh bawa kontinjen negara meraih emas, itu yang lebih penting. Ini semua adalah impian kita," katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan Yonex Sunrise di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini.

Sebagai rekod, Chong Wei empat kali beraksi pada temasya berprestij dunia itu bermula Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016. Sepanjang penampilannya itu, tiga kali beliau memenangi perak iaitu di Beijing, London dan Rio de Janeiro.

Mengulas lanjut, Chong Wei yang juga bekas pemain nombor satu dunia, berkata sukan badminton, basikal trek dan terjun antara yang dilihat berpotensi bagi menamatkan penantian Malaysia bagi meraih emas Sukan Olimpik.

"Ada juga lagi atlet yang masih memburu tempat ke Sukan Olimpik ketika ini. Jadi, saya akan berbincang dengan MOM (Majlis Olimpik Malaysia) bagaimana untuk kita membuat persiapan terbaik untuk menghadapi Sukan Olimpik kali ini.

"Sukan Olimpik kali ini sudah pastinya sangat berbeza kerana akan berlangsung dengan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat (akibat pandemik COVID-19). Jadi, atlet semua perlu membuat persiapan terbaik khususnya dari aspek mental," katanya.

Berita Harian X