Rabu, 3 Februari 2021 | 10:06am
Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Ong Ewe Hock. - Foto ihsan stadiumastro
Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Ong Ewe Hock. - Foto ihsan stadiumastro

'Beri kata dua kepada Hendrawan'

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) digesa untuk memberi kata dua kepada ketua jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan dalam usaha mengembalikan semula prestasi Lee Zii Jia pada tahap sebenarnya.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Ong Ewe Hock, berpandangan Hendrawan wajar diberikan satu lagi peluang tetapi sekiranya prestasi Zii Jia tetap sama, BAM perlu mengambil tindakan termasuk menukar jurulatih pemain itu.

Katanya, BAM bukan sahaja perlu melakukan bedah siasat ke atas Zii Jia susulan prestasi hambarnya dalam tiga kejohanan di Bangkok, sepanjang tiga minggu lalu tetapi perkara sama juga perlu dilakukan ke atas Hendrawan selaku jurulatih.

"Dua-dua kena tunjuk prestasi yang terbaik, tidak boleh hanya seorang. Pemain bagus tetapi jurulatih tidak bagus pun tidak boleh dan begitu juga sebaliknya. BAM juga perlu letak KPI (petunjuk prestasi utama) yang jelas kepada Zii Jia dan Hendrawan.

"Ini baru dua atau tiga kejohanan pertama selepas hampir 10 bulan Zii Jia tidak menyertai kejohanan (akibat pandemik COVID-19). Ada pemain yang cepat menyesuaikan diri tetapi ada juga pemain yang lambat.

"Jadi, kita perlu tengok prestasinya pada kejohanan seterusnya. Sekiranya, masih sama, BAM kena ambil tindakan tegas dan kalau sudah terbukti Hendrawan tidak boleh melatih Zii Jia, mereka kena tukar," kata Ewe Hock.

BH Sukan, semalam melaporkan bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim menyifatkan Zii Jia mungkin tidak serasi berlatih di bawah bimbingan Hendrawan yang menjurus kepada kemerosotan prestasinya dalam tiga kejohanan di Bangkok dan menyokong sekiranya ada usaha untuk menyatukan semula pemain itu dengan Datuk Misbun Sidek.

Sebelum itu, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menggesa BAM membuat tindakan drastik termasuk melantik Misbun membimbing semula Zii Jia dalam usaha mengembalikan prestasinya yang 'lemau'.

Kempen Zii Jia di Bangkok dianggap mengecewakan apabila dia yang mara sehingga suku akhir Terbuka Thailand Yonex tersingkir di pusingan pertama pada Terbuka Thailand Toyota dan gagal melepasi peringkat kumpulan dalam Jelajah Dunia Akhir BWF.

Zii Jia dijadual menyertai tiga kejohanan di Eropah bulan depan bermula pada Terbuka Switzerland, Terbuka Jerman dan Seluruh England.

Berita Harian X