Selasa, 2 Februari 2021 | 10:21am
 Aksi Lee Zii Jia pada Terbuka Thailand Yonex di Bangkok, bulan lalu. - Foto ihsan FB BAM.
Aksi Lee Zii Jia pada Terbuka Thailand Yonex di Bangkok, bulan lalu. - Foto ihsan FB BAM.

'Mungkin tak serasi bersama Hendrawan'

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mungkin tidak serasi berlatih di bawah bimbingan ketua jurulatih, Hendrawan.

Pandangan itu disuarakan bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim yang menyifatkan Zii Jia mengalami kemerosotan prestasi yang sangat ketara berdasarkan tiga kejohanan di Bangkok - Terbuka Thailand Yonex dan Toyota serta Jelajah Dunia Akhir BWF sepanjang tiga minggu lalu.

Justeru, dia menyokong penuh sekiranya ada usaha untuk kembali menyatukan Zii Jia dengan Datuk Misbun Sidek bagi membantu pemain berusia 23 tahun itu mempersiapkan diri menghadapi Sukan Olimpik Tokyo yang akan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Roslin percaya Misbun yang kini memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan memiliki ramuan bagi mengembalikan semula prestasi Zii Jia yang boleh dianggap sudah kesuntukan masa untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi temasya di Tokyo.

"Kita tidak boleh beri alasan ia (prestasi Zii Jia merosot) disebabkan COVID-19 dan sudah lama tidak bermain dalam kejohanan. Pemain negara lain pun turut mengalami situasi yang sama tetapi tidaklah seteruk Zii Jia.

"Jadi, BAM perlu buat sesuatu. Misbun adalah individu yang menaikkan Zii Jia pada awalnya dan saya percaya dia boleh membantu. Biarpun kini Misbun sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan, tetapi tidak salah pun tarik sekejap untuk persiapan ke Olimpik.

"Bukan saya mahu merendahkan Hendrawan (ketua jurulatih perseoragan lelaki) yang ketika ini melatih Zii Jia tetapi mungkin mereka tidak serasi. Macam Misbun memang sudah terbukti kredibilitinya sebagai jurulatih.

"Malah, saya percaya pemerhati dan peminat sukan badminton negara juga mahukan perkara yang sama (Misbun melatih Zii Jia)," katanya yang turut mendapat bimbingan Misbun sehingga berjaya bergelar pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia.

BH Sukan, semalam melaporkan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menggesa BAM membuat tindakan drastik termasuk melantik Misbun membimbing semula Zii Jia dalam usaha mengembalikan prestasinya yang 'lemau'.

Kempen Zii Jia di Bangkok dianggap mengecewakan apabila dia yang mara sehingga suku akhir Terbuka Thailand Yonex tersingkir di pusingan pertama pada Terbuka Thailand Toyota dan gagal melepasi peringkat kumpulan dalam Jelajah Dunia Akhir.

Misbun adalah individu yang bertanggungjawab menaikkan Zii Jia sejak beliau kembali ke pangkuan BAM pada Julai 2017 sehingga menyaksikan pemain itu berjaya melonjakkan kedudukan ranking dunianya dan meraih gelaran Terbuka Taiwan 2018 dan naib juara Masters Korea 2018.

Bagaimanapun, penstrukturan semula barisan kejurulatihan dilakukan BAM menyaksikan Hendrawan diberi peranan melatih Zii Jia pada Julai 2019 sehingga sekarang manakala Misbun dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan bermula awal tahun ini.

Mengulas lanjut, Roslin, berkata tempoh enam bulan sebelum Sukan Olimpik berlangsung adalah tempoh kriktikal buat setiap pemain dan penting untuk mereka mendapat 'sifu' yang tepat bagi membantu mempersiapkan diri.

"Kalau ikutkan sekarang ini sudah kesuntukan masa. Bukan mudah untuk mengembalikan semula prestasi Zii Jia, bukan boleh dilakukan dalam tempoh sebulan. Sebab itu, penting siapa jurulatih yang membimbingnya.

"Kita tidak mahu perkara yang sama berlaku di Bangkok terjadi pada Sukan Olimpik nanti. Saya percaya kalau Misbun diberi tanggungjawab melatih Zii Jia sekarang dan dia pula fokus ikut semua program latihan Misbun, dia boleh kembali ke tahap prestasi sebenarnya," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata pihaknya terbuka dan memandang serius setiap cadangan yang dikemukakan demi kebaikan Zii Jia.

"Sekarang ini, kami menunggu laporan jurulatih mengenai prestasi pemain pada ketiga-tiga kejohanan di Bangkok itu. Selepas itu kami akan meneliti laporan berkenaan secara terperinci dan akan buat keputusan yang terbaik untuk kebaikan Zii Jia," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM.

Berita Harian X