Isnin, 1 Februari 2021 | 3:41pm
Misbun (kanan) mencungkil dan melatih Zii Jia sebelum ini.
Misbun (kanan) mencungkil dan melatih Zii Jia sebelum ini.

Misbun kena latih semula Zii Jia

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) digesa mengambil tindakan drastik termasuk melantik Datuk Misbun Sidek membimbing semula jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia dalam usaha mengembalikan prestasinya yang 'lemau'.

Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menegaskan prestasi anak buah Hendrawan berusia 22 tahun itu dalam tiga kejohanan berturut-turut di Bangkok, Thailand sejak tiga minggu lalu mencetuskan tanda tanya.

Justeru, katanya, tindakan drastik mengambil semula Misbun untuk mengembalikan semula prestasi Zii Jia wajar dipertimbangkan susulan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 semakin hampir.

"(Usia) 22 tahun bukan muda lagi, dia sudah lama. Kita tak menghasilkan atlet seperti ini setiap hari. Nak cari bakat seperti ini bukan senang apatah lagi peminat mengharapkan yang selepas Datuk Lee Chong Wei ada pengganti beliau. Tiada lagi (pengganti) yang lain, Zii Jia saja.

"Zii Jia bermula dengan baik di peringkat awal (kariernya), tapi begitulah prestasinya. Kalau nak tukar di bawah Misbun... saya rasa tak ada banyak pilihan (jurulatih lain) kerana Misbun yang melatih dan menaikkan dia sebelum ini.

"Bagi saya, Misbun tahu di mana kekurangan dan di mana kelebihan Zii Jia. Mungkin Misbun boleh perbaiki prestasi dia," kata Zolkples.

Gambar fail, Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong. - Foto Syarafiq Abd Samad
Gambar fail, Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong. - Foto Syarafiq Abd Samad

Sebelum ini, jurulatih perseorangan negara, Hendrawan mengakui prestasi Zii Jia di tiga kejohanan disertai - Yonex Thailand Terbuka, Toyota Terbuka Thailand dan Jelajah Dunia Akhir BWF - tidak bagus dan seperti hilang keyakinan diri terutama ketika membuat sebarang keputusan di gelanggang.

Zii Jia memulakan laluan di Thailand Yonex Terbuka Thailand dengan mara ke suku akhir sebelum ditunjuk jalan keluar seawal di pusingan pertama Toyota Terbuka Thailand oleh pemain India, Sameer Verma.

Pemain kelahiran Kedah itu yang mempunyai ketinggian 1.86 meter (m) itu juga tewas dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir BWF minggu ini, sekali gus menambahkan lagi kekecewaan peminat sukan tanah air

Zolkples berkata, dia juga menggesa Institut Sukan Negara (ISN) melihat semula sama ada program sokongan sains sukan yang diberikan mencukupi atau sebaliknya kepada Zii Jia.

"ISN kena tengok semula adakah program sokongan sains sukan disediakan itu mencukupi atau tidak atau perlu ditambah baik lagi terutama daripada sudut psikologi. Psikologi adalah satu perkara yang penting kerana Zii Jia dilihat banyak kekurangan daripada aspek ini.

"Kalau nak dibandingkan dengan Chong Wei, bagi saya seperti 'langit dan bumi'. Kalau dilihat, (Zii Jia) banyak melakukan kesilapan dilakukannya di depan jaring.

"Dia seperti tidak ada semangat malah ekspresi muka pun seperti memberi pihak lawan lebih keyakinan untuk bermain dengannya. Tidak seperti Chong Wei yang lebih bersedia.

"Jadi ISN tak boleh lepas tangan... kena bertanggungjawab juga dalam membantu menyediakan khidmat sokongan sains sukan untuknya. Ini masa untuk semua pihak menggembleng tenaga," kata Zolkples.

Berita Harian X