Khamis, 21 Januari 2021 | 9:25pm
Lee Zii Jia (kanan) bersama Hendrawan dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto ihsan badmintonplanet.com
Lee Zii Jia (kanan) bersama Hendrawan dalam satu kejohanan sebelum ini. - Foto ihsan badmintonplanet.com

Tugas berat menanti Hendrawan baiki prestasi Zii Jia

KUALA LUMPUR: Tugas berat menanti ketua jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan selepas anak buahnya, Lee Zii Jia dilihat masih bergelut dengan prestasi tidak menentu.

Terbaru, pemain berusia 22 tahun itu ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama saingan Terbuka Thailand Toyota selepas tewas di tangan pemain India, Sameer Verma, kelmarin.

Ia adalah kekalahan pastinya perit untuk diterima Zii Jia yang menyaksikan suatu ketika dia di ambang kemenangan selepas menang set pertama 21-18 dan mendahului set kedua 18-7 sebelum Sameer berjaya menyamakan kedudukan dan memenangi set kedua 27-25.

Set ketiga menyaksikan Sameer semakin bermotivasi dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-19.

Melihat kepada prestasi tidak menentu dipamerkan Zii Jia yang turut tersingkir di suku akhir Terbuka Thailand Yonex, minggu lalu, banyak 'kerja rumah' yang perlu dilakukan Hendrawan bagi memastikan anak buahnya itu berada pada tahap prestasi terbaik menjelang Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.

Jurulatih dari Indonesia itu bukan sahaja perlu mengatasi masalah prestasi tidak menentu Zii Jia malah dia juga perlu segera mencari formula bagi mempelbagaikan corak permainan pemain berkenaan.

Hendrawan mengakui corak permainan Zii Jia kini sudah dapat dibaca lawannya dan ia dapat dilihat ketika anak buahnya itu tewas di tangan Sameer.

"Daripada dua kejohanan ini (Terbuka Thailand), kita harus akui prestasi Zii Jia belum mencapai tahap maksimum terutama dari aspek mengawal tekanan dan menghadapi perlawanan sukar.

Nampak dia masih ragu-ragu dalam menampilkan strategi antara rali dengan serangan.

"Ada perubahan dalam corak permainan pihak lawan. Semua sudah mempelajari permainan Zii Jia. Jadi, kita perlu buat penilaian dan perlu menambah atau mengubah corak permainannya," kata Hendrawan.

Kekalahan di pusingan pertama saingan Terbuka Thailand Yonex itu menyaksikan Zii Jia perlu menunggu seketika bagi mengetahui sama ada dia layak atau tidak beraksi pada saingan Jelajah Akhir Dunia BWF 2020 yang juga akan diadakan di Bangkok minggu depan.

Hanya lapan pemain terbaik dalam ranking Jelajah Akhir Dunia layak beraksi pada kejohanan akhir musim itu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak AS$1.5 juta (RM6.07 juta).

Biarpun ketika ini, Zii Jia berada di kedudukan kelapan, namun dia perlu menanti sehingga tamat saingan Terbuka Thailand Toyota berikutan ada beberapa pemain yang turut berpeluang layak masih beraksi dalam kejohanan itu.

Berita Harian X