Khamis, 12 Disember 2019 | 8:52pm
BEKAS Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong. - Foto Osman Adnan
BEKAS Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong. - Foto Osman Adnan

BAM kesal, sedih kenyataan bekas KP MSN

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melahirkan rasa kesal dan sedih terhadap kenyataan menyentuh prestasi skuad badminton kebangsaan di Sukan SEA ke-30 Filipina yang dibuat oleh bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong bertajuk ‘Surat Terbuka kepada Menteri Belia dan Sukan’.

"Sebagai mantan Ketua Pengarah MSN, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bersifat umum dan menyeluruh kerana ia sama sekali kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak adil kepada pemenang pingat emas badminton Sukan SEA Filipina yang rata-ratanya berusia 21 tahun.

"Kenyataan yang dikeluarkan seperti ini sama sekali tidak akan membantu situasi. Malah ia menjatuhkan semangat pemain," kata kenyataan yang dikeluarkan BAM di sini hari ini.

BH hari ini memaparkan luahan Zolkples yang mengatakan sukan badminton tidak boleh berbangga dengan tiga pingat emas dimenangi berikutan pemain negara hanya bernasib baik kerana negara Indonesia dan Thailand misalnya tidak menurunkan pemain utama mereka.

"Saya tidak fikir pemain-pemain kita mampu memenangi walaupun satu emas sekiranya semua pemain terbaik rantau Asia Tenggara ini seperti Anthony Ginting, Jonathan Kristie, Inthanon Ratchanok, Gideon/Sukamulyo dan Ahsan/Setiawan menyertai semua acara individu berkenaan," kata Zolkples.

Menurut kenyataan BAM itu lagi, Zolkples sepatutnya melihat daripada perspektif yang lebih positif, berikutan pemain terbabit berjaya mengharumkan nama negara pada usia muda.

"Mereka ini memerlukan sokongan serta galakan daripada semua pihak untuk melangkah lebih jauh lagi," katanya.

Kenyataan BAM itu turut berkata sebagai bekas Setiausaha Kehormat BAM, Zolkples juga sepatutnya menyedari ketiadaan pemain ‘ternama’ yang bertanding di temasya sukan dwitahunan itu juga adalah keputusan persatuan badminton negara masing-masing dan di luar bidang kuasa BAM.

Oleh kerana itu, katanya, pingat emas yang telah dimenangi oleh wira-wira muda ini tidak harus diperlekehkan.

"BAM berharap agar Datuk Seri Zolkples yang juga berpengalaman luas dalam pembangunan sukan negara dapat bersikap positif dan memberikan sokongan dalam usaha untuk membentuk skuad kebangsaan yang mantap dibarisi pemain-pemain muda dan tidak menggunakan mereka sebagai bahan untuk meluahkan perasaan sakit hati beliau terhadap pihak tertentu," katanya.

Berita Harian X