Selasa, 27 Ogos 2019 | 5:04pm
DATUK Lee Chong Wei. - Foto Eizairi Shamsudin
DATUK Lee Chong Wei. - Foto Eizairi Shamsudin

Chong Wei mula buat 'kerja rumah'

KUALA LUMPUR: Walaupun belum memulakan tugas secara rasmi, Datuk Lee Chong Wei giat melakukan ‘kerja rumah’ bagi memudahkannya selepas dipilih sebagai ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bekas pemain badminton nombor satu negara itu berkata, beliau hanya memulakan tugas selepas tamat Sukan SEA 2019, Disember ini.

Bagaimanapun, katanya beliau tetap memantau perkembangan atlet negara terutamanya yang sedang bersaing bagi memburu tiket layak ke Tokyo.

“Setakat ini masih banyak lagi acara sukan yang belum kita tahu layak atau tidak ke Olimpik. “Seperti badminton, pusingan kelayakan sedang berlangsung dan hanya diketahui pada Mei tahun depan. Terjun sudah ada tiga atlet yang layak manakala memanah seorang atlet setakat ini.

“Apapun, semua perancangan akan lebih jelas selepas tamat Sukan SEA. Saya akan sentiasa berhubung dengan MOM (Majlis Olimpik Malaysia) untuk perkembangan semasa,” katanya kepada BH Sukan.

Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Olimpik tiga kali diberi tanggungjawab sebagai ketua kontinjen sebagai penghormatan buat dirinya yang mengumumkan persaraan pada Julai lalu.

Beliau terpaksa ‘menggantung raket’ atas nasihat daripada doktor selepas baru pulih daripada kanser hidung.

Berita Harian X