Jumaat, 26 Oktober 2018 | 12:18pm
PEMAIN nombor tiga dunia, Caroline Wozniacki. - Foto EPA
PEMAIN nombor tiga dunia, Caroline Wozniacki. - Foto EPA

Wozniacki alami masalah sendi

SINGAPURA: Pemain nombor tiga dunia, Caroline Wozniacki mendedahkan semalam dia disahkan mengalami artritis reumatoid, berita mengejutkan itu diketahui sebelum Terbuka Amerika Syarikat.

Pemain Denmark itu tersingkir pada Pusingan Akhir WTA selepas kalah 7-5, 5-7, 3-6 kepada Elina Svitolina sekali gus mengakhiri cabarannya untuk mempertahankan kejuaraan.

Kekalahan itu juga mengakhiri musim yang bermakna buat Wozniacki yang merangkul Grand Slam pertamanya di Terbuka Australia Januari lalu.

Wozniacki berkata, dia berasa tidak sihat selepas Wimbledon dan tidak dapat mengangkat tangannya sejurus sebelum Piala Rogers, Ogos lalu.

Pemain itu dikesan mengalami artritis reumatoid, penyakit yang menyerang sendi kaki dan tangan, sebelum Terbuka AS.

“Saya perlukan masa untuk menerimanya. Selepas Terbuka AS, saya masih perlu mencari apa yang berlaku sebenarnya,” katanya. “Jadi ketika itulah saya dapat tahu. Saya berjumpa doktor terbaik dan memulakan rawatan.”

Pemain berusia 28 tahun itu menyatakan dia akan mencari cara mengawal penyakitnya selepas berakhirnya musim ini. - AFP

Berita Harian X