Rabu, 30 November 2022 | 5:02pm
Azeem menunjukkan keputusan SPM yang diperolehnya.
Azeem menunjukkan keputusan SPM yang diperolehnya.

Azeem harap dapat 'buka mata' atlet muda

KUALA LUMPUR: Bintang olahraga negara, Muhammad Azeem Fahmi berharap keputusannya untuk berkelana ke luar negara dapat menjadi contoh kepada atlet muda negara yang lain.

Pelari pecut berusia 18 tahun itu akan melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraganya di Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS) bermula Januari depan.

Azeem yang berasal dari Ipoh, Perak, berkata dia bersyukur kerana proses kemasukan ke universiti berkenaan berjalan lancar dan teruja bagi memulakan kehidupan baharu di rumah keduanya itu.

"Saya berharap dengan apa yang saya buat sekarang dapat membuka mata atlet muda negara untuk berusaha dalam bidang sukan dan pelajaran," katanya.

Di Universiti Auburn, Azeem akan mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Fisiologi Senaman dan Kinesiologi dengan biasiswa penuh.

Keputusan Azeem itu menyaksikan dia bakal menerima bimbingan bekas pemegang rekod dunia 100 meter, Leroy Burrell yang kini memikul tugas selaku ketua jurulatih trek dan balapan Universiti Auburn.

Selepas meraih keputusan cemerlang 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Azeem mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09 saat di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah Tahun di Colombia, Ogos lalu.

Pencapaian itu menyaksikan dia menerima beberapa tawaran untuk melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraganya di AS sebelum memilih Universiti Auburn.

Berita Harian X