Khamis, 4 Ogos 2022 | 7:56am
Langkah pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dalam acara 200 meter di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia terhenti di peringkat separuh akhir. - Foto NSTP
Langkah pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dalam acara 200 meter di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia terhenti di peringkat separuh akhir. - Foto NSTP

Cabaran 200m Azeem terhenti di separuh akhir

KUALA LUMPUR: Langkah pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dalam acara 200 meter di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia terhenti di peringkat separuh akhir selepas menduduki tempat keempat dalam aksi saringan dua, awal pagi tadi.

Pelari berusia 18 tahun itu terpaksa akur apabila hanya mencatat 20.97 saat (s) sekali gus tidak berjaya untuk meneruskan kemaraan ke pentas final.

Aksi saringan dua di peringkat separuh akhir itu diungguli atlet Botswana, Letsile Tebogo yang mencatat 20.23s manakala Anthony Smith dari Turki, kedua dengan catatan 20.83s, sekali gus menyaksikan kedua-duanya mara ke peringkat akhir.

Terdahulu, Azeem berjaya memperbaharui catatan masa peribadi terbaiknya dalam acara itu ketika memenangi perlumbaan saringan tiga pusingan kelayakan dengan catatan 20.83s untuk melangkah ke peringkat separuh akhir, tengah malam tadi.

Dia yang berada di lorong lapan mempamerkan larian cemerlang untuk menewaskan Aidan Murphy dari Australia di tempat kedua dan atlet Jamaica Bryan Levell ketiga, dengan kedua-dua pelari melintasi garisan penamat dengan catatan masa sama 20.85s.

Catatan direkodkan Azeem itu dianggap masa kedua terpantas dalam sejarah acara 200m negara selepas rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Alexander Nasir Taib yang dicipta pada tahun 2019.

Kelmarin, pelari berasal dari Perak itu mencipta sensasi apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100m ketika mengungguli saringan lapan, pusingan kelayakan dengan catatan 10.09s.

Catatan itu mengatasi rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.

Azeem yang mara sehingga peringkat akhir acara 100m menamatkan saingan di kedudukan kelima, awal pagi semalam.

Berita Harian X