Selasa, 2 Ogos 2022 | 4:58pm
Atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan (kanan) dan bintang muda, Muhammad Azeem Fahmi.
Atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan (kanan) dan bintang muda, Muhammad Azeem Fahmi.

'The Speedy Jantan' tabik Azeem

KUALA LUMPUR: Atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan mengakui kejayaan bintang muda, Muhammad Azeem Fahmi meleburkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m) miliknya di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, awal pagi tadi membuatkan dia 'tidak senang duduk' apabila tekad untuk bekerja keras bagi mencatatkan masa yang lebih baik.

Khairul Hafiz, 22, berkata pencapaian dilakar Azeem memberikan motivasi buat dirinya dan rakan atlet pecut lain untuk meningkatkan prestasi masing-masing.

"Pencapaian Azeem boleh dijadikan motivasi buat saya dan atlet pecut lain untuk buat masa yang lebih baik. Yakin dengan keupayaan diri, terus berlatih dan berusaha selebihnya berserah kepada Allah SWT," kata pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu.

Terdahulu, Azeem yang berusia 18 tahun mencipta sensasi apabila meleburkan rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz dengan catatan 10.09 saat (s) untuk mengungguli saringan lapan dan seterusnya layak ke peringkat separuh akhir di Cali.

Khairul Hafiz sebelum ini memegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.18s ketika dia memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.

Mengulas lanjut, Khairul Hafiz yang diberi julukan 'The Speedy Jantan', berkata pencapaian Azeem membuktikan pelari berasal dari Perak itu mampu berjaya selepas penyertaannya di Sukan SEA Hanoi, Mei lalu dibatalkan akibat 'false start' ketika aksi pusingan saringan.

"Alhamdulillah Azeem boleh pecahkan rekod saya, sangat sangat berbangga atas pencapainya itu. Dia sudah menunjukkan yang dia boleh berjaya kerana sebelum ini diuji semasa Sukan SEA yang lalu.

"Kalau ada rezeki dia, mana tahu dia boleh lari bawah 10s. Apa pun, saya mendoakan Azeem akan terus buat yang terbaik untuk pusingan seterusnya. Kami semua rakyat Malaysia akan sentiasa mendoakan dia," kata Khairul Hafiz.

Pencapaian Azeem juga menyaksikan dia kini mendahului senarai pelari terpantas Asia di peringkat remaja mengatasi atlet Jepun berusia 19 tahun, Hiroki Yanagita yang memiliki catatan 10.16s.

Lebih menarik, catatan itu adalah yang kedua terpantas daripada semua lapan saringan yang berlangsung dengan Azeem berada di belakang atlet Botswana, Letsile Tebogo yang mencipta rekod baharu kejohanan dengan catatan 10.00s.

Tebogo juga adalah pemegang rekod remaja dunia dalam acara itu dengan catatan 9.94s.

Rekod dunia dalam acara 100m dipegang bekas jaguh pecut Jamaica, Usain Bolt dengan catatan 9.58s yang dilakukannya di Berlin, Jerman pada 2009.

Di benua Asia, rekod terpantas menjadi milik atlet China, Su Bingtian yang mencatatkan masa 9.83s, manakala di peringkat Asia Tenggara, Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia muncul pelari terpantas dengan catatan 10.03s.

Berita Harian X